Sistem perwakilan bernisbah lebih telus, adil

SHAH ALAM - Sistem perwakilan bernisbah atau proportional representation yang bakal digunakan dalam proses pemilihan pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) bulan depan dilihat lebih adil dan bertepatan dengan situasi ketika ini.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Mazlan Ali berkata, sistem tersebut lebih telus kerana melibatkan semua ahli parti yang berdaftar.

“Ahli biasa juga boleh mengundi dengan syarat, mesti berdaftar dan membayar yuran (keahlian). Maka ia lebih telus.

“Jadi bagi saya secara akademiknya, perwakilan bernisbah nampak lebih adil, cuma cabarannya adalah bagaimana ia akan dilaksanakan dan jentera pemilihan, urusetia PKR mestilah dalam kalangan yang terlatih dan biasa dengan sistem tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan, proportional representation akan digunakan dalam sesi pemilihan pucuk pimpinan parti yang dijadualkan berlangsung bulan depan sebagaimana diluluskan dalam Kongres Khas pada 15 Disember lalu.

Sistem tersebut jelasnya, akan mengambil kira saiz setiap bahagian dalam menentukan perwakilan dengan kuota ditetapkan untuk wanita dan kumpulan etnik berdasarkan demografi pemilih.

Dalam pada itu Mazlan berpandangan, sistem first past the post yang diaplikasikan dalam pemilihan cabang parti baru-baru ini kurang tepat kerana ada calon yang hanya kalah tipis kepada pencabarnya.

“Oleh itu sistem perwakilan bernisbah adalah cara terbaik dan efektif bagi mengelakkan kejadian sama berlaku di peringkat cabang sebelum ini,” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis politik bebas, Datuk M Periasamy pula berpendapat, sistem perwakilan bernisbah mampu membantu memenangkan calon mewakili kaum minoriti untuk menyertai kepimpinan parti.

Ini kerana menurutnya, kumpulan berkenaan kurang mendapat tempat dalam saf kepimpinan jika dibandingkan dengan kaum majoriti.

“Pemilihan di Malaysia sama ada pilihan raya umum atau pilihan dalam parti, masih dipengaruhi faktor dan sentimen kaum.

“Jadi sistem bernisbah akan mengatasi isu minoriti selain menggunakan sistem kuota bagi mewakili wanita dan kumpulan kaum ini,” katanya.