Jawatan timbalan presiden terbuka untuk dicabar

SHAH ALAM - Semua ahli boleh mencalonkan diri untuk bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan akan datang.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, jawatan nombor dua itu sentiasa terbuka untuk dicabar dan perkara tersebut sudah menjadi kebiasaan dalam pemilihan parti.

“Pemilihan adalah ruang demokrasi untuk anggota PKR menyemak prestasi dan kesungguhan setiap pemimpin dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Sama ada (Datuk Seri) Saifuddin pencabar (jawatan timbalan presiden) atau bukan, itu tidak menjadi persoalan (kerana) yang penting adalah menyuburkan ruang demokrasi dalam parti,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilapor memaklumkan, beliau masih belum membuat keputusan sama ada akan mencabar Datuk Seri Rafizi Ramli bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti tidak lama lagi.

Tegas Syed Badli Shah, sudah menjadi tanggungjawab setiap ahli parti sama ada menukar atau mengekalkan pemimpin sedia ada berdasarkan prestasi serta cara kerja masing-masing.

Jelasnya, jawatan timbalan presiden sentiasa ada pertandingan dalam setiap kali pemilihan.

“Pada tahun 2010, (Datuk Seri Mohamed) Azmin Ali lawan Datuk Zaid Ibrahim, tahun 2014 pula Azmin lawan Tan Sri Khalid Ibrahim dan pada 2018, beliau lawan Rafizi.

“Pada 2022 pula, Rafizi lawan Saifuddin. Maknanya setiap kali pemilihan, setiap kali itu juga jawatan nombor dua ada pertandingan,” ulasnya.