IPOH - Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan sebuah laman Facebook milik sebuah parti politik berkaitan kelulusan ladang babi di Perak.
Menurutnya, hantaran yang dibuat di Facebook itu disifatkan sebagai fitnah jahat yang sengaja dilontarkan susulan berlangsungnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
"Segala kenyataan yang dikaitkan dengan saya adalah tidak benar sama sekali.
"Ia tindakan tidak bertamadun dan langkah terdesak di fasa terakhir PRK DUN Ayer Kuning," katanya dalam hantaran di Facebooknya malam tadi.
**media[3099136]**
Ahmad Faizal yang juga bekas Menteri Besar Perak memaklumkan pihaknya akan mendapatkan pandangan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap hantaran tersebut.
Terdahulu sebuah laman Facebook dipercayai milik sebuah parti politik menulis hantaran menulis "Saya luluskan 103 lesen kandang babi di Perak ketika MB dulu," - bekas Menteri Besar PN berserta gambar Ahmad Faizal.