SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning menjadi medan penting bagi menilai kekuatan sebenar kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan, tatkala Perikatan Nasional (PN) terus mengintai peluang mempertahankan sokongan pengundi Melayu khususnya golongan muda.
Firma penyelidikan bebas, Ilham Centre menerusi laporannya menjangkakan, BN secara relatifnya dilihat tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan kerusi tradisi itu, namun cabaran sebenar ialah sejauh mana kerjasama dengan PH mampu melonjakkan sokongan sehingga mencapai sasaran majoriti 18,000 undi seperti yang diumumkan Menteri Besar Perak,Datuk Seri Saarani Mohamad.
“Sasaran itu dilihat menimbulkan tekanan terhadap jentera kedua-dua parti komponen kerajaan, memandangkan majoriti responden kajian berpandangan angka tersebut sukar dicapai.
“Kempen PRK kali ini turut memperlihatkan peralihan gaya dengan pendekatan senyap dan bersifat mikro menggantikan ceramah mega.
“Strategi ‘man-to-man marking’ menjadi pilihan, dengan calon dan jentera turun padang secara langsung merayu undi dari rumah ke rumah, selain memanfaatkan platform media sosial secara aktif,” kata laporan itu.
**media[3099388]**
Dalam aspek ini, PN tampil lebih agresif di medan digital berbanding BN dan PH yang lebih mengambil pendekatan bertahan.
Manakala Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula tampil konsisten membawa isu pekerja dan kebajikan sosial, menumpukan kempen mereka kepada komuniti India di kawasan estet.
Calon BN, Dr Yusri Bakir yang merupakan bekas guru tempatan berjaya memanfaatkan sentimen nostalgia dan hubungan peribadi bersama bekas pelajar serta keluarga mereka. Kelebihan itu digarap dalam kempen tersusun yang banyak berlegar di kawasan perumahan.
Sementara itu, calon PN, Ustaz Abd Muhaimin Malek pula dikenali sebagai guru agama yang aktif di masjid dan surau. Meskipun kempen beliau sederhana, daya tarikan peribadi dan pendekatan ceramah kelompok kecil berjaya memberikan impak, khususnya dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) majoriti Melayu yang pernah dimenangi PN dalam PRU15.
“Dalam kalangan pengundi muda, PN kekal sebagai pilihan utama. Namun sikap acuh tak acuh anak muda untuk pulang mengundi terutamanya mereka yang menetap di luar kawasan seperti Lembah Klang dan Pulau Pinang menjadi faktor kritikal yang boleh menggugat kekuatan PN,” ujarnya.
Kajian turut mendapati Pemuda UMNO berdepan kesukaran menarik kembali sokongan anak muda yang terus kekal skeptikal terhadap BN, menandakan sentimen negatif terhadap parti itu masih belum berjaya dipulihkan.
“Isu tempatan seperti pencemaran najis babi, digunakan oleh PN dalam naratif berbaur perkauman, memberi kesan dalam kalangan pengundi Melayu walaupun berisiko tinggi. PH pula menyerang calon PN dari sudut kredibiliti, khususnya berkaitan status tauliah mengajar agama,” katanya.
Dalam naratif nasional, PN menggambarkan PRK ini sebagai referendum terhadap kerajaan Madani dan kerjasama UMNO-DAP.
“Dari sudut pengundi bukan Melayu, DAP dan MCA dilaporkan beroperasi secara berasingan dalam usaha memujuk penyokong PH menyokong calon BN,” kata laporan itu.
Sementara itu, komuniti orang asal dilihat kekal setia bersama BN atas faktor khidmat dan hubungan berpanjangan.
PSM pula meletakkan calon Bawani KS, yang secara konsisten memperjuangkan isu peluang pekerjaan dan kebajikan pekerja ladang.
Faktor sokongan pemimpin MIC seperti Datuk Seri M Saravanan juga menjadi aspek penting dalam mengukur prestasi kempen PSM dalam kalangan pengundi India.
“Keseluruhannya, Ilham Centre menyimpulkan bahawa tiada calon dominan dalam PRK ini. Keputusan pengundian dijangka bergantung kepada keupayaan gabungan PH-BN menterjemahkan kerjasama politik kepada undi, serta sejauh mana PN mampu mengekalkan momentum dan menawan semula kawasan yang pernah dimenangi.
“PRK Ayer Kuning bukan sahaja bakal menentukan arah politik setempat, tetapi juga menjadi barometer awal terhadap dinamika sokongan menjelang pilihan raya umum akan datang,” jelasnya.
Panel penyelidikan Ilham Centre terdiri daripada Ketua Penyelidiknya, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim; Pengarah Eksekutif, Hisommudin Bakar; Ketua Operasi, Mohd Azlan Zainal dan Ketua Analitik, Mohd Jalaluddin Hashim dan Felo Penyelidik, Mujibu Abd Muis.