Pengundi Ayer Kuning pilih wakil rakyat esok

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 31,281 pengundi berdaftar bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat esok, selepas tamat 14 hari tempoh berkempen.

Sebanyak 19 pusat mengundi melibatkan 63 saluran akan dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Proses penjumlahan undi pula akan berlangsung di Dewan Merdeka di sini.

Berdasarkan laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca cerah diramal pada sebelah pagi manakala ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).

Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.

Pada PRK itu, 601 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan 1,114 anggota polis akan bertugas bagi membantu melancarkan proses pengundian.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru di Stadium Bandaraya Georgetown, Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) November 2022, Ishsam yang juga Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi dalam saingan lima penjuru.

Ayer Kuning ialah satu daripada dua DUN di bawah Parlimen Tapah.

Ini adalah PRK kesebelas selepas PRU15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor), PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang), PRK DUN Nenggiri (Kelantan) dan PRK DUN Mahkota (Johor). - Bernama