SHAH ALAM- Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh sebuah ladang ternakan babi yang didakwa mencemarkan air Sungai Bidor yang mengalir hingga ke kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, Perak.
Ahmad Fadhli berkata, sedangkan mengikut Enakmen Pengawalan Penternakan babi 1992, penternak dilarang membuang sisa kumbahan najis babi ke dalam sungai.
"Video yang saya kongsikan (di ruangan komen) adalah apa yang saya saksikan sendiri. Sisa kumbahan najis babi disalirkan terus masuk sungai secara berterusan.
"Untuk rekod yang amat berhormat (YAB) juga saya tunjuk betapa jernihnya air Sungai Bidor sebelum kawasan pencemaran," katanya menerusi laman Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) memberitahu, pengusaha ladang babi di kawasan DUN Ayer Kuning beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.
Katanya, oleh itu cadangan pembangkang mengenai penambahbaikan operasi mereka adalah tidak relevan.
Beliau berkata, pengusaha berkenaan sudah mendapat lesen mengusahakan ternakan mereka sejak sekian lama.
Ahmad Fadhli turut mencabar Ahmad Zahid turun dan membasuh muka menggunakan air Sungai Bidor selepas lokasi pencemaran.
"Baiklah, kalau YAB TPM terlalu yakin ladang babi itu ikut SOP, saya cabar turun dan basuh muka.
"Ada berani?" soalnya.