TAPAH - Seramai 50 ahli dan penyokong Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar parti berkuat kuasa pada Khamis selepas kecewa dengan kepimpinan parti.
Kesemua mereka berusia antara 18 hingga 40 tahun meninggalkan parti bagi menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Bekas Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Cawangan Simpang Tiga, Adham Iskandar Ismail berkata, keputusan diambil selepas hilang keyakinan terhadap kepimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam menjaga kebajikan masyarakat terutama golongan belia.
**media[3099151]**
"Saya anggap saya tersalah lorong. Sepatutnya saya kena bersama dengan kerajaan untuk menaikkan anak-anak muda di kawasan ini.
"Sebelum ini terlalu kosong, ke sana ke sini tidak ada sesiapa yang beri panduan. Apabila mereka (anak muda) minta sebarang bantuan, kita tak dapat nak tunaikan," katanya yang telah bersama Bersatu sejak 2019.
Kesemua mereka telah menyerahkan borang keahlian baharu UMNO kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tapah, Khairul Azmi Ghazali di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Simpang Tiga dekat Bidor di sini pada Khamis.
Adham Iskandar berkata, keputusan mereka tidak dipengaruhi mana-mana pihak selain menegaskan mahu menarik lebih ramai sokongan anak muda kepada BN menjelang pilihan raya umum akan datang.
"Saya punya tekad sekarang adalah untuk membantu rakan-rakan saya melalui BN," katanya.