Pembangkang tak perlu gusar lantikan pegawai khas MB

IPOH - Pelantikan seramai 26 Pegawai Khas Menteri Besar Perak tidak seharusnya menimbulkan kegusaran dalam kalangan wakil rakyat pembangkang.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pegawai khas yang dilantik itu berperanan sebagai wakil rasmi Menteri Besar bagi membantu melicinkan urusan pentadbiran dan kebajikan rakyat di kawasan-kawasan yang memerlukan perhatian khusus.

Menurutnya, elaun yang diterima sebanyak RM10,000 sebulan bagi pelbagai urusan termasuk pentadbiran dan sumbangan kepada masyarakat setempat tidak sebanyak diterima oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang.

"Mereka hanya dibayar RM10,000 sebulan all in. Itulah duit gaji dia, bayar gaji pemandu kalau ada, bayar kerani jika ada, nak sewa pejabat, nak sedekah kenduri, RM10,000 sahaja.

"Yang Berhormat tak perlu bimbang, yang berhormat dapat duit elaun masing-masing RM11,000, siapa nak nafikan? Ditambah elaun pemandu, keraian semua sekali RM14,000. Yang Berhormat dibayar RM10,000 lagi tambahan sebagai elaun pengurusan pusat khidmat. Yang berhormat dapat lebih dari RM10,000, takut kenapa?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Selasa.

Dalam ucapannya juga, Saarani turut menyangkal dakwaan segelintir pihak yang menuduhnya menyalahgunakan kuasa dan cuba menamatkan karier politik pembangkang melalui pelantikan pegawai khas tersebut.

Katanya, pelantikan seumpama itu bukanlah pertama kali pertama dilaksanakan di negeri ini malah beberapa negeri seperti di Kedah dan Kelantan turut melantik penyelaras DUN atau penyelia DUN dalam melicinkan pentadbiran DUN berkenaan.

Jelasnya, pendekatan yang dilaksanakan ketika ini adalah berbeza dengan langkah yang diambil oleh bekas Menteri Besar yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada tahun 2018, yang ketika itu melantik penyelaras DUN di kawasan yang dimenangi pembangkang.

"Yang berhormat boleh tanya perkara ini kepada YAB Menteri Besar Kedah dan Kelantan sebab itu dalam dewan ini saya pernah tanya kita nak ikut model mana? Model Kedah, Kelantan atau Terengganu.

"Kita putuskan ikut model Perak. Saya tak lantik penyelaras DUN tetapi saya lantik pegawai khas Menteri Besar," kata ADUN Kota Tampan itu lagi.

Saarani dalam pada itu turut mempersoalkan sikap pembangkang yang menggunakan isu pelantikan pegawai khas Menteri Besar Perak itu sebagai modal politik sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning ketika ini.

Jelasnya, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu turut mempolitikkan perkara tersebut seolah-olah lantikan seperti itu tidak pernah dibuat sebelum ini.

"Tetapi ada waktunya saya berasa sedikit keliru. Di luar sana di Ayer Kuning kalau Ayer Kuning memilih pembangkang sebagai wakil rakyat maka dapat seorang lagi pegawai khas, eh boleh pula.

"Itu politik tapi saya dah berjalan ke semua 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM) semua nak wakil rakyat kerajaan dan Insya-ALLAH calon Barisan Nasional akan menang," katanya.

Terdahulu, DUN Perak panas apabila beberapa ADUN pembangkang termasuk Hafez Sabri (PN-Manjoi), Mohd Akmal Kamarudin (PN-Selama), Khalil Yahaya (PN-Kubu Gajah) tidak sabar mencelah bagi mendapatkan penjelasan Saarani mengenai isu tersebut.

Bagaimanapun tindakan Saarani menjawab persoalan dibangkit menyebabkan wakil rakyat pembangkang akur serta menerima penjelasan diberikan.

Sementara itu, beliau mengajak semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang untuk meneladani titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menyeru kepada politik menyatukan rakyat dan bukan mencetuskan perpecahan.

Jelasnya, pemimpin perlu memilih naratif politik yang meraih kepercayaan dan kejujuran, bukan politik yang mencari keuntungan dalam kebencian.