Pendedahan PDRM pukulan KO kepada Pas - Puad Zarkashi

SHAH ALAM - Pendedahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai peningkatan kes dadah dan rogol di Kelantan sepatutnya dijadikan motivasi oleh Pas sebagai kerajaan negeri bagi memperbaiki pentadbiran dan bukan untuk dipertikaikan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, mengenai peningkatan kes dadah serta rogol tidak wajar dipertikaikan sebaliknya perlu diterima dengan hati terbuka.

“Pas tidak boleh terima apabila Ketua Polis Kelantan dan Timbalan Ketua Polis Negara kata masalah sosial seperti dadah dan rogol makin berleluasa di Kelantan.

“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melor minta bukti, Pas rasa malu. Pada mereka Kelantan ditadbir secara Islam, mana mungkin jenayah meningkat.

“Sepatutnya Pas jadikan itu motivasi untuk cari formula baiki pentadbiran, bukan sapu sampah bawah tikar dan beretorik ‘Islam mentadbir Kelantan’... hakikatnya hampas,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, ADUN Melor, Wan Rohimi Wan Daud mendakwa, beberapa kenyataan yang dikeluarkan polis Kelantan sebagai cubaan memberi gambaran negatif terhadap negeri tersebut.

Menurut Wan Rohaimi yang juga seorang peguam, kenyataan terbabit dikeluarkan secara berturut-turut dan kelihatan seolah-olah disengajakan bagi menimbulkan persepsi bahawa Kelantan adalah negeri yang tidak selamat untuk didiami.

Pada Rabu, beliau menjelaskan apa yang disebut olehnya semasa sesi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah untuk menegur Ketua Polis Kelantan di atas siri-siri kenyataan yang memberikan imej negatif terhadap negeri itu.

Terdahulu, Mohd Yusoff mendedahkan, kes rogol di negeri berkenaan sangat membimbangkan apabila menjadi satu trend di mana kanak-kanak perempuan yang mencari lelaki untuk mengadakan hubungan intim.

Jelasnya, kanak-kanak perempuan tersebut berusia seawal 10 tahun manakala lelaki 11 tahun.

Sementara itu, Ayob Khan turut memaklumkan, Kelantan mencatatkan kes penyalahgunaan dadah tertinggi di Malaysia membabitkan 1,130 kes dalam setiap 100,000 penduduknya.

Dalam pada itu, Mohd Puad turut menyifatkan kenyataan pihak polis itu sebagai ‘pukulan KO’ terhadap kerajaan negeri pimpinan Pas.

Katanya, kerajaan negeri tidak boleh terus bersikap menafikan fakta kerana data jenayah kini berada di hujung jari rakyat.

“Pendedahan PDRM itu adalah pukulan ‘KO’ kepada Pas. Kerajaan Kelantan tidak lagi boleh main sorok-sorok.

“Data di hujung jari, Pas perlu berhenti jual agama, lebih baik tangguh dahulu angan-angan mentadbir negara. 35 tahun tadbir Kelantan, jenayah makin meningkat,” ujarnya.