SHAH ALAM - Tindakan segelintir pihak memainkan sentimen kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung penangguhan ibadah haji demi perjuangan politik didakwa bertujuan mengalihkan perhatian masyarakat daripada isu sebenar.
Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, isu sebenar yang berlaku melibatkan lambakan ladang babi yang beroperasi sama ada secara berlesen atau haram di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning terutamanya di Kampung Tanjung Keramat.
“Sebenarnya mereka hanya hendak alih isu (ladang) babi sahaja. Mereka gagal jawab isu berkenaan.
“Isu sebenar ialah babi, bukan haji. Masa Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat cakap benda sama tahun 2012 dulu, hangpa pergi mana waktu itu?” soalnya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Perak, Hafez Sabri mendedahkan terdapat lambakan ladang babi beroperasi secara berlesen dan haram di DUN Ayer Kuning terutamanya di Kampung Tanjung Keramat yang majoritinya didiami masyarakat Melayu.
Pada Sabtu, media melaporkan Abdul Hadi memberi signal supaya masyarakat Islam di negara ini memberi keutamaan pada kemenangan politik berbanding hasrat menunaikan ibadah haji atau umrah.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Marang ketika menyampaikan ucapan dalam Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat, Tapah.
Mengulas lanjut Afnan Hamimi berkata, kenyataan Abdul Hadi tidak sepatutnya menjadi isu besar memandangkan tarikh mengundi dan penerbangan pertama haji bukan jatuh pada hari pertama.
“Penerbangan pertama haji pada 29 April manakala hari mengundi PRK Ayer Kuning ialah 26 April.
“Tiga hari selepas mengundi, selamatlah berangkat pergi haji. Tiada apa-apa isu pun.
“Abdul Hadi datang ceramah sekali sahaja, habis riuh, kutuk maki beliau. Keluar semua fatwa sesat dan macam-macam,” ujarnya.