SELEPAS seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berlangsung, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS terus bersemangat menyantuni penduduk.
Bawani juga sentiasa mendahului dalam menyelesaikan gerak kerja kempen berbanding dua parti besar, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), apabila beliau menjadi calon pertama membentangkan manifesto serta mengisytiharkan aset demi mendapat keyakinan pengundi.
Anak jati Ayer Kuning berusia 39 tahun itu juga tidak kalah hebatnya apabila memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malah aktif mewakili pelbagai komuniti sebagai peguam hak asasi manusia.
------------------------------
SINAR HARIAN: Selepas lebih seminggu berkempen, apakah maklum balas paling ketara yang diterima daripada pengundi sepanjang tempoh kempen setakat ini?
BAWANI: Semua tempat yang PSM singgah dalam seminggu ini memang ada masalah. Rakyat buat aduan terutamanya jalan raya utama teruk tidak kira dari Bidor, Kampar, Tapah dan Ayer Kuning. Kami juga nampak rakyat lebih matang dan menerima kehadiran serta menunjukkan sokongan setiap kali sesi walkabout.
Penduduk Ayer Kuning tidak lokek beri cadangan penambahbaikan. Saya rasa mereka gunakan peluang sebaik-baiknya ketika tempoh kempen dan PSM pula bantu ketengahkan isu yang selama ini tidak didengari. Kempen dibawa juga betul-betul menyentuh isu rakyat, bukannya memainkan sentimen buruk atau isu 3R (raja, kaum, agama). Menang atau kalah, itu semua adat pertandingan. Tetapi, apa yang PSM nak bawa kepada rakyat memang sangat penting.
Bersaing dengan dua parti 'gergasi' dan berdepan kekangan sumber, bagaimana PSM memastikan kempen tetap efektif serta berjalan lancar?
Memasuki hari kesembilan, kempen kami berjalan dengan baik hasil bantuan semua sukarelawan. PSM juga dapat sumbangan daripada rakyat. Ramai petani hantar bahan mentah dan kami ada sukarelawan yang memasak di bilik gerakan setiap hari.
Pasukan kami ada yang edar risalah, pacak bendera dan poster di seluruh kawasan DUN Ayer Kuning. Mereka tahu perlu ada perubahan di kawasan ini.
Selain itu, ramai pengikut bantu sebarkan maklumat kempen melalui media sosial, mereka tidak hadir tapi sudi beri sumbangan berbentuk wang ringgit serta suntikan motivasi. Mereka kata kali ini PSM mesti kena menang.
**media[3094567]**
Jadi, saya lihat perbandingan momentum pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu dengan PRK kali ini amat berbeza.
PSM fikir pengundi sudah jelas bahawa PRK DUN Ayer Kuning merupakan referendum rakyat untuk memberi wakeup call kepada kerajaan supaya bergerak pada hala tuju sebenar.
Apa tanggapan Bawani terhadap pihak lawan sepanjang seminggu kempen PRK DUN Ayer Kuning berlangsung?
Apa yang saya nampak sepanjang kempen, BN gunakan peruntukan kerajaan contohnya pada Sabtu di Pekan Ayer Kuning, MIC anjur konsert dan panggil artis India tempatan.
Ini budaya lama dan mereka selalu gunakan konsep sebegini untuk memancing undi penduduk setempat. Tetapi, saya fikir okeylah ambil sahaja apa yang mereka beri kerana itu adalah duit rakyat.
Selagi boleh berhibur, silakan! Cuma undi adalah rahsia dan buatlah keputusan sebaik-baiknya. Mereka (BN) ada jentera, tenaga dan wang.
Kalau diikutkan, itu pembaziran. Bayangkan MIC sanggup sediakan lima hingga enam bas, jemput penduduk dari kawasan lain datang ke konsert.
Mengapa memilih buat ketika pilihan raya sahaja? Ini sangat jelas gunakan wang untuk raih undi.
Strategi PSM setiap kali pilihan raya adalah pengisytiharan aset. Mengapa?
Ya benar setiap tahun atau pilihan raya, PSM akan buat pengisytiharan aset supaya rakyat tahu dan boleh menilai wakil rakyat mereka.
Penduduk Ayer Kuning boleh lihat ada tidak pendapatan atau gaya hidup wakil rakyat berubah selepas memegang jawatan. Ini sebagai semak imbang supaya wakil rakyat dipilih bersih dan bebas rasuah.
Sebab itulah sejak 1999 lagi, semua calon, wakil rakyat dan ahli majlis PSM perlu isytihar harta setiap tahun. Kita semua tahu ramai pemimpin atasan korup.
Sebelum dan selepas mereka jadi wakil rakyat, situasinya berbeza. Bagaimana pendapatan dan nilai aset mereka yang sebelumnya hanya pakai kereta biasa, tiba-tiba guna kereta mewah.
Kita tidak mahu wakil rakyat dapat wang hasil perniagaan sampingan atau buat duit dengan cara tidak betul.
Justeru, saya cabar calon BN dan PN untuk isytihar harta mereka dalam tempoh kempen berbaki seminggu lagi.
Sekiranya tidak menang, adakah PSM akan terus aktif di kawasan ini atau ini sekadar satu percubaan politik?
Saya sudah 39 tahun menetap di Taman Ria, Ayer Kuning dan buka pejabat PSM di Kampar sejak 2016. Sehingga sekarang kami masih bersama rakyat dan mengendalikan pelbagai isu petani, Orang Asli dan pekerja, malah ia tak pernah berhenti.
**media[3094566]**
Walaupun sebelum ini saya bertanding di DUN Malim Nawar dan DUN Ayer Kuning, sehingga kini saya tidak pernah ke mana-mana.
Hakikatnya, PSM sentiasa bersama rakyat. Memang benar pada PRU15 kami kalah, tetapi ketika itu parti letak lima tuntutan rakyat Ayer Kuning dan tiga daripadanya didengari serta berjaya dilaksanakan.
Ia kerana sewaktu pilihan raya, PSM mengetengahkan isu utama rakyat contohnya di sini tidak ada mesin juruwang automatik (ATM). Selepas tiga ke empat bulan tamat pilihan raya, Bank Rakyat buka mesin ATM.
Itu cara PSM apabila bawa isu rakyat, kami pastikan suara rakyat didengari dan pihak tertentu ambil tindakan.
Jalan raya juga sudah diturap dari Jalan Kampar ke Teluk Intan, bahkan Perak Transit ambil alih perkhidmatan bas awam selepas lebih setahun tiada pengangkutan awam.
Jadi, saya fikir dari segi kerja dan bakti PSM untuk rakyat tidak pernah kalah meskipun parti selalu kalah pilihan raya.