Tindakan Wan Norashikin masuk Pas sudah dijangka

TAPAH - Keputusan bekas Ketua Wanita UMNO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin menyertai Pas bukan sesuatu yang mengejutkan.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tindak-tanduk mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah itu sudah dijangka dari awal oleh kepimpinan parti.

“Dia ada WhatsApp sekali-sekala, tetapi tak pernah timbul isu itu (lompat parti). Cuma saya jangka, saya pun ada sixth sense (deria keenam). Saya bukan kasyaf, tetapi saya boleh baca reaksi manusia.

"Semalam itu cuma tarikh yang memang kita tunggu. Jadi tak ada apa-apa yang mengejutkan," katanya kepada pemberita.

Pada Sabtu, Pas mengumumkan Wan Norashikin daripada UMNO menyertai parti itu dengan borang keahlian diserahkan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sempena Ceramah Mega Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning di Kampung Tanjung Keramat di sini.

Wan Norashikin yang hadir berjubah hitam dan berniqab ditemani suaminya iaitu Setiausaha Pas Kawasan Tapah, Muhammad Noor Farid Zainal.

Mengulas lanjut, Saarani yang juga Menteri Besar Perak menyifatkan penyertaan Wan Norashikin ke dalam parti lawan itu adalah keputusan peribadi yang tidak memberi kesan besar kepada kekuatan UMNO Perak.

"Kalau pun ada kesan, ia hanyalah satu undi di Kampung Gajah dan satu di Parlimen Pasir Salak. Tak ada apa-apa sangat," katanya.

Tambah Saarani, kali terakhir beliau berhubung dengan Wan Norashikin ialah pada hari pertama Ramadan lalu, menghadiri program berbuka puasa dan solat tarawih di Masjid Abu Hurairah di Bidor yang turut dihadiri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz.

“Masa tu saya buka puasa dan solat di masjid. Esoknya dia mesej saya, beritahu yang suami dia sembahyang sebelah Datuk Seri Nazri Aziz.

"Maknanya, dia pun ada di situ dan itu sajalah komunikasi terakhir kami," katanya.

Terdahulu, Saarani hadir merasmikan Program Sejati Madani Impian Jadi Realiti Daerah Batang Padang di Dewan Orang Ramai Kampung Kenangan dekat Bidor di sini pada Ahad.