TAPAH - Seramai 31,281 orang berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, seramai 601 orang akan bertugas bagi melancarkan proses pengundian melibatkan 63 saluran di 19 pusat mengundi.
Menurut beliau, pengundi juga diingatkan supaya membawa MyKad bagi memudahkan semakan nama serta membantu kelancaran proses pengundian.
**media[3099501]**
"Pengundi yang berdaftar disarankan untuk keluar awal berikutan keadaan cuaca agak tidak menentu.
"Bagaimanapun, semua pengundi boleh pilih masa yang sesuai yang telah ditetapkan.
"Kita juga hendak memaklumkan apabila datang pusat mengundi dilarang memakai pakaian yang memaparkan nama, lambang, simbol atau gambar parti kerana kita semua sedia maklum kempen berakhir tengah malam ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau petugas SPR melakukan semakan peralatan dan isi peti undi di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Merdeka di sini pada Jumaat.
Ikmalrudin berkata, keputusan rasmi PRK DUN Ayer Kuning dijangka diperoleh sekitar jam 9 malam esok.
Tambah beliau, pihaknya menerima lebih 33 laporan melibatkan bahan kempen.
"Kebanyakan kesalahan melibatkan pemasangan poster di tempat yang tidak dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti tepi jalan yang menghalang lalu lintas.
"Saya juga dimaklumkan ada empat laporan yang ini lebih kepada individu. Yang ini kita serahkan kepada pihak polis," katanya.
**media[3099500]**
PRK DUN Ayer Kuning melibatkan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia, (PSM) Bawani KS.
Mohamad Yusri akan mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lesong manakala Abd Muhaimin di SK Ayer Kuning dan Bawani di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pheng Lok.
Selasa lalu, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.