TAPAH - Perikatan Nasional (PN) berharap calon yang mewakili parti itu mampu membawa kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada Sabtu ini walaupun hanya dengan kelebihan satu undi.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dalam konteks pilihan raya, jumlah majoriti bukan ukuran utama kerana lebih penting adalah memastikan calon PN berjaya melepasi garis kemenangan.
"Mereka (Barisan Nasional) ada sasaran, (dapat) 18,000 undi kan.
“Target kita menanglah. Satu undi pun menang. Dalam pilihan raya ini tak penting berapa jumlah. Satu pun menang.
"Lepasi garis kemenangan pun dah cukup,” katanya ketika ditemui pemberita dalam program Kabbadi Bersama MB Kedah di Padang Awam Taman Permai dekat Bidor di sini pada Jumaat.
Hadir sama, calon PN PRK DUN Ayer Kuning, Abd Muhaimin Malek.
**media[3099509]**
Muhammad Sanusi turut menyatakan rasa puas hati terhadap gerak kerja jentera PN sepanjang tempoh berkempen yang disifatkannya sebagai bersungguh-sungguh dan tersusun, melibatkan semua lapisan dari Pemuda, Muslimat hingga kepada keluarga calon sendiri.
Katanya, usaha tersebut diharap dapat membawa gelombang perubahan besar yang dapat menembusi kawasan yang sebelum ini dianggap sebagai kubu kuat pihak lawan.
"Sama ada gelombang yang kita bentuk ini mampu menenggelamkan 'fixed deposit' mereka atau tidak, saya harap dapatlah macam itu.
"Kita telah berhabis daya, berusaha bersungguh-sungguh untuk mendekati semua kumpulan pengundi tanpa membangkitkan isu-isu sensitif antara kaum. Yang penting, pengundi buat pilihan berdasarkan ilmu dan maklumat yang benar,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning pada Sabtu ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).
Berdaftarkan daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 31,281 orang berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mengundi melibatkan 63 saluran di 19 pusat mengundi.