TAPAH – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, menegaskan bahawa tiada sebarang masalah antara beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berhubung isu pertukaran tempat duduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.
Beliau yang mesra dipanggil Peja berkata, pertukaran tempat duduk itu dibuat atas permintaannya sendiri susulan peletakan jawatan Zainol Fadzi sebagai Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak dan tidak membabitkan sebarang konflik dalaman.
“Kalau ada yang kata kami bermasalah, saya ingin nyatakan secara jelas bahawa beliau adalah sahabat karib saya.
“Kami berkawan lama dan hubungan kami masih baik. Mungkin ada kekurangan dari segi komunikasi, tetapi tiada isu besar antara kami,” katanya pada sidang media selepas Ceramah Mega PN di Halaman Pasti Asy-Syakirin, Kampung Tanjung Keramat, Sabtu malam.
Ahmad Faizal yang juga Naib Presiden Bersatu, menyatakan keyakinannya bahawa mereka akan terus bekerjasama dalam memperkukuh PN dan Bersatu menjelang pilihan raya umum akan datang.
Turut hadir dalam ceramah mega itu ialah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Tan Sri Annuar Musa, dan Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan bahawa PN menghantar surat ke Pejabat Speaker DUN Perak bagi menukar tempat duduk dua ADUN Bersatu, Zainol Fadzi dan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi semasa persidangan DUN berlangsung.
Perkara itu disahkan oleh Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang memaklumkan surat tersebut ditandatangani oleh Ahmad Faizal dan diterima pada 16 April lalu.
Zainol Fadzi, yang pernah menjadi Exco Kerajaan Negeri Perak selama tiga penggal, sebelum ini duduk bersebelahan dengan Timbalan Pengerusi PN Perak, Razman Zakaria sebagai Ketua Whip Pembangkang. Beliau merupakan ADUN empat penggal sejak 2008.
Sementara itu, Nadziruddin yang baru pertama kali bergelar ADUN selepas PRU15, kini diletakkan sebaris dengan ADUN Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamahri. Beliau juga telah dilantik sebagai Setiausaha Bersatu Perak menggantikan Zainol Fadzi.