TAPAH - Calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS menjadi individu pertama mengisytiharkan harta demi mendapat kepercayaan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Bawani yang juga Pengerusi PSM Perak berkata, setakat 15 April, jumlah aset bersih dianggarkan sebanyak RM21,248 yang dipecahkan kepada tiga kategori iaitu harta, pendapatan dan perbelanjaan serta hutang.
“Bagi seksyen harta atau peralatan, Perodua Bezza 2019 RM27,000 dan telefon pintar Honor X9B RM1,499 berjumlah RM28,499.
“Untuk pendapatan dan perbelanjaan, wang tunai di tangan saya ada RM583 manakala wang simpanan keseluruhan dalam beberapa akaun bank sebanyak RM20,638.
“Selain itu, kategori hutang pinjaman kereta (RM13,139) dan pinjaman pendidikan (RM14,750) menjadikannya RM27,889. Tolak tambah jumlah bersih dianggarkan sebanyak RM21,248," katanya.
Peguam terbabit berkata demikian ketika sidang media khas PSM di pekarangan pasar pagi bersebelahan Masjid Jamek Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Ahad.
Anak jati Ayer Kuning berusia 39 tahun itu memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-undang dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), malah aktif mewakili pelbagai komuniti sebagai peguam hak asasi manusia.
Ditanya mengenai rasional berbuat demikian, Bawani memaklumkan, ia tradisi yang sudah lama diamalkan PSM sejak 1999 dan setiap kali pilihan raya berlangsung.
Tambahnya, rakyat boleh menilai sama ada calon yang bertanding merebut kerusi di DUN Ayer Kuning benar-benar bersih, bebas rasuah, jumlah aset wakil rakyat meningkat secara signifikan atau sebaliknya.
Jelas Bawani lagi, ahli baharu atau pimpinan PSM juga diminta mengisytiharkan harta sebelum menyertai parti berkenaan.
“Kita nak tonjolkan yang kita tidak mahu wakil rakyat korup. Bagaimana individu yang sebelum jadi wakil rakyat hanya guna satu kereta, kemudian tiba-tiba guna kereta mewah.
“Itulah pentingnya PSM isytihar harta setiap tahun. Justeru, saya cabar calon Barisan Nasional (BN), Dr Ustaz Yusri Bakir dan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek berbuat perkara sama.
“Sekiranya selepas menang nanti, rakyat boleh lihat adakah harta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning meningkat atau tidak,” ujarnya lagi.