Pertukaran tempat Zainol tidak diketahui Bersatu bahagian

IPOH - Pertukaran tempat duduk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tidak diketahui pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bahagian di negeri ini.

Ketua Bersatu Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail berkata, perkara tersebut hanya diketahui melalui laporan akhbar serta kenyataan Ketua Pembangkang merangkap Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perak, Razman Zakaria.

“Saya tidak pasti jika ia telah dibincangkan dalam Mesyuarat PN Perak. Setahu saya ketua-ketua bahagian tak tahu tentang perkara tersebut.

"Jawapan bagi perkara surat mengejut yang dinyatakan oleh Razman hanya ada pada Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selaku Pengerusi PN Negeri Perak,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sementara itu, Muhammad Fadhli menjelaskan apa yang berlaku tidak memberi kesan kepada kempen PN di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Menurutnya, Bersatu Perak masih kukuh dan gambaran sesetengah pihak kononnya berlaku pergeseran kepimpinan di sebalik tindakan tersebut adalah tidak tepat. Perkara sebegini adalah lumrah dalam mana mana parti Politik.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan PN menghantar surat mengejut ke Pejabat Speaker DUN Perak bagi menukar tempat duduk dua ADUN daripada Bersatu.

Difahamkan, perubahan tersebut dicadangkan di antara Zainol Fadzi dan ADUN Changkat Jong, Nadziruddin Mohamed Bandi.

Perkara tersebut disahkan Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid yang memaklumkan bahawa surat yang ditandatangani oleh Ahmad Faizal selaku Pengerusi Bersatu Perak diterimanya pada 16 April ketika Persidangan DUN Perak berlangsung.

Dalam pada itu, bercakap kepada Sinar Harian, Razman menyerahkan perkara itu kepada Ahmad Faizal untuk dijelaskan.

Ketua Pembangkang DUN Perak itu juga optimis isu tersebut tidak akan memberi kesan kepada perjalanan kempen PRK DUN Ayer Kuning yang sedang berlangsung ketika ini.