TAPAH - Barisan Nasional (BN) mematuhi sepenuhnya arahan Perdana Menteri berhubung larangan penggunaan jentera kerajaan semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning ini.
Calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir berkata, pasukannya menyokong penuh ketetapan itu dan menumpukan kepada kekuatan akar umbi serta pendekatan bersemuka dalam usaha meraih sokongan pengundi.
“Kita sokong apa yang disebut Perdana Menteri. Kita tidak akan menggunakan jentera kerajaan bagi kempen ini dan sudah semestinya akan mematuhi apa yang digariskan," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan mesra bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Air Kuning di sini pada Rabu.
Meskipun tanpa jentera rasmi kerajaan, Mohamad Yusri optimis dengan peluang kemenangan berdasarkan sambutan positif yang diterima setakat ini.
**media[3086686]**
"Saya yakin atas usaha yang kita buat dan penerimaan masyarakat yang baik. Insya-ALLAH, kita boleh capai apa yang kita hajati," katanya.
Sepanjang tempoh lima hari berkempen, beliau telah menjalankan kempen dari rumah ke rumah untuk menyantuni pengundi daripada pelbagai latar belakang termasuk Melayu, Cina, India dan Orang Asli.
Katanya, siri ziarah tidak hanya berfokus kepada mereka yang uzur, tetapi turut menyantuni individu berpengaruh yang boleh membantu mengukuhkan kempen.
"Kebanyakan isu yang dibangkitkan adalah berkaitan infrastruktur seperti jalan dan longkang. Ia melibatkan kehidupan harian mereka, jadi itu tumpuan utama yang kita ambil maklum,” katanya.
Mengenai suasana kempen secara keseluruhan, Mohamad Yusri menyifatkan persaingan dengan calon-calon lain berlangsung dalam suasana politik yang matang.
“Pertembungan itu biasa, kadang-kadang kami bertemu semasa ziarah, tetapi semuanya berjalan baik. Kami berkawan, penyokong pun tak ada masalah,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin, 59, pada 22 Februari lepas akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri bersama calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS dari Parti Sosialis Malaysia (PSM).