KOTA BHARU - Pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) perlu disegerakan bagi mengurangkan kesesakan jalan raya yang kritikal di Kelantan setiap kali musim perayaan.
Projek lebuh raya utama yang menghubungkan negeri ini dengan ibu kota itu dilihat sebagai penyelesaian jangka panjang bagi masalah kesesakan yang menyebabkan perjalanan perantau memakan masa sehingga lebih 20 jam.
Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pelaksanaan LTU yang sebelum ini dirujuk sebagai Central Spine Road (CSR) perlu dipercepatkan bagi memastikan rakyat dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan lancar.
“LTU adalah projek penting yang akan memperbaiki sistem jalan raya di Kelantan.
“Jika disiapkan segera, ia dapat mengurangkan kesesakan dan memudahkan pergerakan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Makan Colek bersama Media Kelantan di sini pada Isnin.
Menurutnya, kerjasama erat antara kerajaan pusat dan negeri amat diperlukan bagi memastikan proses perolehan, pembinaan serta pengambilan tanah dapat diselesaikan tanpa kelewatan.
Katanya, keutamaan harus diberikan agar setiap peringkat pelaksanaan projek ini berjalan lancar dan rakyat dapat menikmati manfaatnya dalam tempoh yang sewajarnya.
**media[3059911]**
“Perkara ini sudah dibangkitkan di pihak atasan kerajaan.
“Saya percaya kerajaan pusat dan negeri menyedari kepentingan LTU dan usaha berterusan sedang dilakukan untuk memastikan projek ini dapat disiapkan seperti yang dirancang,” jelasnya.
Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menafikan LTU akan dibuka dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai video yang tular di media sosial bahawa seksyen 4A LTU membabitkan sebahagian jalan antara Raub, Kuala Lipis dan Gua Musang akan dibuka untuk Aidilfitri, beliau berkata, laluan itu masih lagi dalam peringkat pembinaan dan tarikh jangkaan siap semasa ialah pada 26 Ogos ini.
LTU menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang.
LTU projek lebuh raya empat lorong tanpa tol ini dibina untuk menggantikan laluan dua lorong sedia ada seperti Laluan Persekutuan 8 (Lebuhraya Gua Musang) dan Laluan Persekutuan 9 (Lebuhraya Karak-Tampin).
LTU bertujuan meningkatkan jaringan pengangkutan di Semenanjung Malaysia, khususnya bagi memudahkan pergerakan antara negeri-negeri di Pantai Timur dan Barat.