PN dicabar namakan calon PM, MB Perak

PADANG RENGAS - Perikatan Nasional (PN) dicabar menamakan calon Perdana Menteri dan Menteri Besar Perak mereka bagi meyakinkan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pusat, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, ketidaktentuan dalam kepimpinan PN membuktikan bahawa gabungan itu masih belum bersedia untuk mentadbir negara atau negeri.

Menurutnya, perkara itu lebih penting daripada mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun berkempen atau tidak pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan.

"Kita cabar PN, namakan calon Perdana Menteri atau calon Menteri Besar mereka.

"Jika tiada, bermakna mereka tidak bersedia," katanya kepada pemberita pada Majlis Iftar Perdana dan Penyerahan Sumbangan Kasih Madani Aidilfitri Parlimen Padang Rengas di sini, malam Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sementara itu, Muhammad Kamil menepis dakwaan bahawa Anwar tidak berani turun ke Ayer Kuning sempena PRK DUN berkenaan yang dijadual bermula 12 April depan.

Menurutnya, dakwaan itu hanyalah cubaan pihak tertentu untuk terus kekal relevan.

"Perdana Menteri tidak pernah turun ke mana-mana PRK. Jadi, tidak timbul soal beliau tidak berani ke Ayer Kuning.

"Ini hanyalah percubaan lapuk pihak tertentu," jelas Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu.

Sinar Harian pada 23 Mac lalu melaporkan bahawa Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin Anwar tidak berani berkempen dalam PRK DUN Ayer Kuning kerana tiada apa yang boleh dijanjikan kepada rakyat.

Ketuanya, Muhammad Hilman Idham berkata, kegagalan kerajaan Madani menunaikan janji sebelum ini menyebabkan rakyat semakin hilang kepercayaan dan muak dengan kepimpinan sedia ada.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil turut membidas kenyataan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mendakwa negeri di bawah pentadbiran SG4, Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak berkembang kerana tidak mendapat sokongan kerajaan Pusat.

Beliau menegaskan kerajaan Pusat terus menyalurkan bantuan kepada semua negeri tanpa mengira parti yang memerintah, termasuk Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam Terengganu dan peruntukan bagi projek tebatan banjir di Kelantan.

“Semalam, Kementerian Kewangan mengumumkan bantuan khas Aidilfitri untuk penjawat awam Terengganu. Malah, beberapa minggu lalu, Menteri Besar Kelantan bertemu Perdana Menteri bagi mempercepatkan projek tebatan banjir.

"Ini bukti kerajaan pusat tidak meminggirkan negeri pembangkang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak boleh menyalahkan Putrajaya bagi menutup kelemahan pentadbiran mereka sendiri.

Selain itu, Muhammad Kamil mengumumkan kerajaan menyalurkan sumbangan sebanyak RM200,000 kepada 1,000 penerima di Padang Rengas melalui peruntukan khas Pejabat Perdana Menteri.

Katanya, bantuan itu diharap dapat meringankan beban golongan asnaf dan mereka yang kurang berkemampuan sempena Aidilfitri.