Pas kecam pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru sebelum Aidilfitri

SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor mengecam tindakan pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan, lebih-lebih lagi menjelang Aidilfitri.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, penduduk dipaksa mengosongkan kediaman mereka sebelum jam 10 pagi pada Rabu.

Menurut beliau, tanah yang mereka diami ketika ini berstatus ‘Malay Agriculture Settlement’ (MAS) yang memiliki kedudukan lebih tinggi daripada tanah rizab Melayu.

"Penduduk telah lama mendiami kawasan ini dan tanah berstatus MAS ini tidak boleh dijual beli kepada orang bukan Melayu.

"Namun, mereka kini diusir tanpa pembelaan yang sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau turut membandingkan situasi itu dengan tindakan pengusiran paksa di beberapa wilayah lain di dunia apabila penduduk Kampung Sungai Baru ‘dipenjarakan’ dengan tembok zink dan diancam tindakan kekerasan jika enggan berpindah.

"Belum pun tiba tarikh akhir, mereka sudah dikenakan sekatan dan diancam secara tidak berperikemanusiaan. Ke mana hilangnya nilai kemanusiaan dalam isu ini?" soalnya.

Mohamed Sukri turut mengkritik Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang dijangka dibentangkan di Parlimen Julai depan.

"Inilah bukti nyata betapa terancamnya kedudukan pemilik tanah dan strata terutama kaum Melayu dan India apabila suara mereka diketepikan atas nama pembangunan semula.

"Akibat kerakusan pembangunan yang hanya lebih menguntungkan pemaju, kira-kira tujuh ekar tanah pegangan orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur bakal hilang, sekali gus menyingkirkan mereka dari ibu kota.

"Perjuangan utama bukan sekadar menuntut pampasan, tetapi mempertahankan identiti dan warisan kampung yang telah sekian lama wujud," tambah beliau.