PADANG TERAP - UMNO Kedah menegaskan bahawa parti itu masih mempunyai kekuatan tersendiri di negeri ini walaupun tidak lagi memegang tampuk pentadbiran sejak 2018.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti itu kekal utuh dengan 15 bahagian dan 2,290 cawangan yang masih aktif tanpa ada mana-mana pemimpin utama yang meninggalkan parti untuk menyertai parti lain.
“Setakat ini, tiada ketua bahagian, timbalan, ketua wanita, pemuda atau puteri yang meletakkan jawatan untuk menyertai parti lain. Begitu juga dengan cawangan-cawangan UMNO di Kedah, sejak kita kalah pada 2018, tidak ada satu pun yang ditutup atau beramai-ramai keluar parti,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa di Felda Bukit Tembaga di sini pada Selasa.
Menurutnya, UMNO juga sedang berusaha mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti itu sebagai bekas peneraju kerajaan yang pernah membantu rakyat dan membawa kestabilan politik.
“UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah lebih 60 tahun mentadbir, manakala Pas dan Bersatu pula sudah dua hingga tiga tahun menjadi kerajaan. Pengundi akan menilai siapa yang benar-benar mampu mentadbir dengan baik.
“Dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) atau Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang, rakyat akan membuat penilaian berdasarkan rekod pemerintahan parti-parti yang ada,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kedudukan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) di Kedah, Mahdzir menegaskan bahawa kerjasama itu berjalan dengan baik.
“Saya yakin bahawa parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan mampu bergerak selari dan saling menyesuaikan diri untuk memastikan kestabilan politik di negeri ini,” ujarnya.