TEMERLOH - Sebarang keputusan berkaitan hala tuju politik parti, termasuk kerjasama dengan mana-mana pihak, perlu dirujuk dan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, setakat ini UMNO belum membincangkan soal kerjasama dengan mana-mana parti.
Menurutnya, parti lebih cenderung untuk meneruskan gabungan sedia ada bersama Pakatan Harapan (PH).
“Apa sahaja keputusan, kita perlu rujuk kepada MKT. Setakat ini, kita tidak berbincang tentang kerjasama dengan Pas dan Bersatu.
"Cumanya, kita ada menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan PH," katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Ukhwah Madani bagi Parlimen Temerloh di Hotel Apsara, di sini, pada Selasa.
Beliau turut merasmikan penamaan dewan hotel sebagai Dewan Tan Sri Sabbaruddin Chik tanda penghormatan kepada tokoh berkenaan.
Ujarnya, dalam konteks pilihan raya, gabungan parti yang ada ketika ini sudah mempunyai sasaran kumpulan pengundi berbeza.
“Di Pahang, misalnya, jika kita bekerjasama dengan PN, 17 kerusi dimenangi Pas dan Bersatu tidak akan diberikan kepada UMNO.
"Sedangkan itu juga adalah kawasan pengundi Melayu, manakala DAP menguruskan kawasan bukan Melayu, PKR lebih kepada bandar, dan UMNO di luar bandar,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut mengulas kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, pada Isnin bahawa PN bersedia membuka ruang kerjasama dengan UMNO demi masa depan negara.
“Kami ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Hamzah atas pelawaan tersebut. Walau apa pun, perkara ini perlu dibincangkan dan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti," tambahnya.
Sementara itu, Mohd Sharkar turut menekankan kepentingan memperkukuhkan hubungan antara UMNO dan PH di peringkat akar umbi.
Jelasnya, pengukuhan itu bukan sahaja dilakukan di peringkat pusat dan negeri.
"Sebab itu, kita adakan Majlis Ukhwah Madani ini untuk menemukan mereka (pemimpin) di peringkat akar umbi.
"Kita tahu bahawa sudah tiga tahun kerajaan ini wujud dan di peringkat tertinggi serta peringkat pertengahan, kita lihat kombinasinya sangat baik serta mempunyai kesefahaman, sama ada di peringkat negeri atau pusat.
"Tetapi di peringkat akar umbi, perpaduan itu masih belum benar-benar disepadukan," katanya.