Syed Ibrahim pertahan jawatan Majlis Pimpinan Pusat PKR

JOHOR BAHRU - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh akan mempertahankan jawatan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti yang dijadualkan bermula April ini.

Ahli Parlimen Ledang itu tidak berhasrat bertanding bagi jawatan lebih tinggi, sebaliknya mahu terus menyumbang dalam kapasiti sedia ada bagi memperkukuhkan parti.

"Saya memegang jawatan ini sejak penggal lalu dan akan bertanding semula bagi meneruskan kesinambungan perjuangan dalam parti," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Pakatan Harapan (PH) Johor Bersama Pengamal Media pada malam Isnin.

Hadir sama, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor.

Selain mempertahankan jawatan di peringkat pusat, Syed Ibrahim turut mengesahkan akan terus menerajui PKR Cabang Ledang yang disandangnya ketika ini.

"Saya penyandang Ketua Cabang Ledang dan akan mempertahankan jawatan itu. Setakat yang saya maklum, tidak ada pencalonan lain dan hanya perlu menunggu keputusan rasmi," ujarnya.

Beliau juga menyatakan kesediaan berdepan cabaran dalam pemilihan Majlis Pimpinan Pusat, namun yakin dengan peluangnya berdasarkan kedudukan dalam parti.

"Saya percaya pengalaman sebagai Pengerusi PKR Johor, Ketua Cabang Ledang, Ahli Parlimen serta Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan Perpaduan memberi kelebihan untuk terus menyumbang kepada parti," katanya lagi.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan jawatan Pengerusi PKR Johor bukan dipilih melalui pemilihan parti, sebaliknya dilantik Presiden PKR.

"Jadi, buat masa ini jawatan lantikan seperti Pengerusi PKR Johor masih kekal sehingga kongres parti berlangsung," tambahnya.