SHAH ALAM – Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur menunjukkan bahawa undang-undang perlu ditegakkan tanpa mengira jenis binaan atau kegunaannya.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pendirian Perdana Menteri itu adalah tepat dan wajar disokong.
“Mana-mana binaan haram di atas tanah milik pihak lain sudah tentu tiada pilihan selain dirobohkan.
“Ini bukan isu agama, tetapi isu undang-undang. Harapnya tidak timbul lagi perkara seperti ini pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Selasa.
Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkongsi petikan laporan berita yang memetik kenyataan Anwar, “...sambil berkata ia perlu dipindahkan, dia menegaskan bahawa kuil itu bukanlah rumah ibadat pertama yang telah dipindahkan atau dirobohkan kerana melanggar undang-undang...”
Sebelum ini, pengasas Jakel, Allahyarham Mohamed Jakel Ahmad telah mewakafkan tanah di Jalan Masjid India bagi pembinaan sebuah masjid untuk menampung keperluan komuniti di kawasan tersebut.
Ketua Bahagian Undang-Undang dan Komunikasi Korporat Jakel Trading Sdn Bhd, Aiman Dazuki turut menjelaskan bahawa rancangan pemindahan kuil berkenaan dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan masjid tersebut.
Bagaimanapun, penyokong pemeliharaan kuil itu mencadangkan tapak alternatif bagi pembinaan masjid tersebut.