Cubaan sekat pengaruh Ismail Sabri

DAKWAAN bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menarik sokongan daripada Kerajaan Perpaduan mungkin boleh dilihat sebagai satu bentuk tekanan politik yang bertujuan melemahkan kedudukan beliau dalam UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ini kerana Ahli Parlimen Bera itu merupakan satu-satunya pemimpin nombor satu negara daripada UMNO yang tidak memegang jawatan presiden parti dan ia suatu perkara luar biasa dalam sejarah politik Malaysia.

**media[3057933]**

Sehubungan itu katanya, sebarang spekulasi mengenai pendirian beliau terhadap kerajaan boleh dimanipulasi oleh pihak berkepentingan untuk mencorak naratif politik tertentu sama ada bagi mengekang pengaruhnya atau menguji kesetiaan BN dalam gabungan kerajaan sedia ada.

“Walaupun tidak memegang jawatan Presiden UMNO, Ismail Sabri masih mempunyai pengaruh dalam kalangan ahli parti terutama mereka yang menyokong pendekatan lebih progresif dan pragmatik dalam politik.

“Dalam masa sama, BN memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan dan sebarang perubahan dalam sokongan BN boleh memberi kesan besar kepada landskap politik negara.

“Oleh itu, tokoh seperti Ismail Sabri terus menjadi perhatian dalam sebarang spekulasi mengenai keutuhan kerajaan. Masa depan politiknya bergantung kepada keupayaannya menyesuaikan diri dengan perubahan dinamik politik serta keupayaan beliau untuk kekal relevan dalam kalangan rakyat dan ahli politik,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ismail Sabri pada Sabtu tampil menafikan sekeras-kerasnya telah menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan susulan dakwaan beliau bersama 13 Ahli Parlimen BN lain menarik sokongan seperti yang tersebar di media sosial baru-baru ini.

Malah pada 17 Mac lalu, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir turut menafikan dakwaan mengatakan 14 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai usaha menjejaskan perpaduan antara wakil rakyat dalam kerajaan.

Menurutnya, sokongan penuh terus diberikan terhadap kerajaan dan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, ditanya mengenai masa depan politik Ismail Sabri, Hussain Yusri yang juga Ketua Pusat Pengajian Hubungan Antarabangsa, Fakulti Undang-undang dan Hubungan Antarabangsa UniSZA berkata, perkara itu bergantung kepada tiga faktor utama.

Pertama katanya, ia ditentukan dengan kedudukan beliau dalam parti yang mana jika Ismail Sabri berjaya mendapatkan semula pengaruh, berkemungkinan bekas Perdana Menteri itu berperanan sebagai pemimpin alternatif bagi golongan yang ingin melihat pembaharuan dalam UMNO.

“Kedua, dinamika politik nasional akan menentukan sama ada beliau akan terus menjadi sebahagian daripada blok kerajaan atau mengambil pendekatan yang lebih bebas dalam politik. Jika ketidakstabilan dalam Kerajaan Perpaduan meningkat, nama Ismail Sabri boleh sekali lagi disebut sebagai calon kompromi bagi mana-mana pakatan politik yang ingin mencari keseimbangan kuasa.

“Akhir sekali, persepsi rakyat terhadap beliau akan turut memainkan peranan penting. Jika beliau dapat mengekalkan imej sebagai pemimpin sederhana yang lebih mementingkan kestabilan politik dan kebajikan rakyat, beliau mungkin mempunyai peluang untuk kembali ke barisan hadapan politik nasional dalam pilihan raya akan datang,” katanya.