SEREMBAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah parti yang diasaskan oleh ahli UMNO yang kecewa atau mempunyai kepentingan peribadi, sebaliknya ditubuhkan dengan matlamat membela orang Melayu selepas hilang kepercayaan terhadap UMNO yang dikaitkan dengan pemimpin kleptokrat.
Ketua Bersatu Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, menegaskan bahawa ramai ahli Bersatu bukan berasal dari UMNO, termasuk dirinya sendiri.
"Saya adalah antara ahli terawal menyertai Bersatu, dan ketika itu saya bukan ahli UMNO. Ramai lagi ahli Bersatu yang bukan bekas ahli UMNO," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, Bersatu diasaskan oleh sebahagian kecil pemimpin UMNO, antaranya Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Presiden UMNO, yang meninggalkan parti itu kerana ia didakwa tidak lagi memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu.
"Selain itu, Bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipecat kerana berusaha membersihkan parti tersebut daripada kleptokrat," ujarnya.
Mohamad Hanifah berkata demikian sebagai respons kepada kenyataan Ketua Penerangan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim, yang menggesa pemimpin Bersatu kembali ke UMNO sekiranya mereka benar-benar ikhlas memperjuangkan hak orang Melayu.
Ismail mendakwa bahawa kehadiran Bersatu tidak mengukuhkan bangsa Melayu, sebaliknya melemahkan kuasa politik orang Melayu kerana ia sekadar sebuah parti serpihan tanpa hala tuju yang jelas.
Namun, Mohamad Hanifah menolak dakwaan itu dan mengingatkan bahawa UMNO sendiri pernah bekerjasama dengan Bersatu semasa Langkah Sheraton.
"UMNO mahu beri alasan apa apabila mereka sendiri yang meninggalkan Bersatu dan PAS, sedangkan ketika itu kita sudah bersatu dalam memperjuangkan bangsa Melayu?" soalnya.
Beliau turut menegaskan bahawa UMNO kini memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH)-DAP, sekali gus meninggalkan agenda perpaduan parti Melayu yang pernah memerintah bersama melalui gabungan Bersatu, UMNO, dan PAS.
"Adakah UMNO lupa? Matlamat sudah pun sama, tetapi mereka tamakkan kuasa sehingga sanggup tinggalkan gabungan parti Melayu yang sedang memerintah?" katanya lagi.
Tegasnya, Bersatu ditubuhkan dengan hala tuju yang jelas bagi memastikan orang Melayu mempunyai platform politik yang benar-benar memperjuangkan hak mereka, tanpa menyokong pemimpin kleptokrat dalam UMNO.
Beliau berpandangan bahawa UMNO yang seharusnya insaf dan ikhlas untuk kembali bergabung dengan Perikatan Nasional (PN), yang semakin mendapat sokongan rakyat, termasuk dari kalangan bukan Melayu.
"Kami berjuang untuk orang Melayu tanpa menyisihkan rakyat bukan Melayu, seperti yang termaktub dalam Perlembagaan. Adakah matlamat Bersatu dan PN ini salah?" katanya.