PRK Ayer Kuning penentu baharu kekuatan Kerajaan Perpaduan - Reezal Merican

KEPALA BATAS - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning akan menjadi satu lagi penentuan baharu kepada kekuatan perpaduan parti serta Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merizcan berkata, sebelum ini kebersamaan dan perpaduan dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membawa kepada kemenangan parti semasa PRK DUN Nenggiri dan DUN Mahkota.

Meskipun mempunyai kekuatan dan kelebihan untuk menang kerusi DUN Ayer Kuning namun beliau berkata, BN tidak boleh mendabik dada sebaliknya perlu terus bersatu hati bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN.

"Walaupun kerajaan Perak di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad stabil namun ia harus diterjemahkan menerusi kemenangan di PRK Ayer Kuning itu nanti.

"Umumnya kawasan Air Kuning ini adalah kawasan yang kita lihat mempunyai kelebihan tetapi seperti selalu, kita tak mahu nak dabik dada... Mana-mana PRK adalah penting bagi kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir Majlis Kasih Ramadan Ceria Aidilfitri Parlimen Kepala Batas di Dewan Kompleks Sukan MBSP Bertam di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, Reezal Merican berkata, UMNO Pulau Pinang khususnya UMNO DUN Bertam akan menggerakkan jentera bagi memberi sokongan dan membantu kempen calon BN yang akan diumumkan pada 7 April nanti.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April depan, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 12 dan 22 April.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Ishsam Shahruddin, pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung selepas menyertai Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang.