KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden MIC, M Saravanan mempertahankan bahawa Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman berhampiran Jalan Masjid India di Kuala Lumpur telah wujud sejak lebih 100 tahun lalu dan tidak pernah dipindahkan seperti dakwaan pihak tertentu.
Beliau menjelaskan hanya sebahagian struktur dirobohkan bagi kerja-kerja pelebaran jalan sejak kewujudan rumah ibadat tersebut di situ.
Menurutnya, umat Islam menganggap rumah ibadat tersebut 'kuil haram' kerana tidak mendapat maklumat sebenar.
"Kalau saya berada di tempat mereka (orang Islam) pun saya juga akan marah, sebab mereka tak dapat gambaran betul (mengenai kewujudan kuil berkenaan).
"Rumah ibadat ini dah lebih 100 tahun, ia tak pernah dirobohkan.
“Pada 2006 ada kerja nak lebarkan jalan, lalu kuil ini diminta robohkan bahagian dapur dan bahagian tempat tinggal sami bagi membolehkan kerja tersebut dijalankan,” katanya semasa sidang media di pekarangan kuil berkenaan pada Ahad.
Pada Jumaat, Perdana Menteri mengingatkan semua pihak agar tidak menjadi 'jaguh' dalam polemik membabitkan status kuil tersebut.
Katanya, pihak berkaitan isu perpindahan kuil tersebut sedang berunding dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan perkara itu bagi memastikan ia berjalan lancar.
Dalam pada itu, Saravanan menegaskan, isu mengenai kuil tersebut perlu ditangani secara 'menang-menang' agar tidak mengeruhkan lagi keadaan.
Beliau turut berterima kasih kepada Anwar kerana memberi jaminan tidak akan merobohkan kuil tersebut.
Pada masa sama, Saravanan turut mengesahkan wujud perbincangan antara pihak pemilik tanah berkenaan, Jakel Trading Sdn Bhd (Jakel Trading) dengan pihak pengurusan kuil.
"Sekarang kerajaan sudah buat (perundingan)... (kita) serah kepada kerajaan," katanya.