Had tempoh 10 tahun bukan ukuran kejayaan Perdana Menteri - Tun M

PUTRAJAYA - Had tempoh seseorang memegang jawatan Perdana Menteri bukanlah ukuran kejayaan dalam pentadbiran sesebuah negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebaliknya kemampuan dan integriti individu tersebut dalam menjalankan tanggungjawabnya lebih penting berbanding tempoh memegang jawatan tersebut.

Beliau turut berpandangan bahawa cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun tidak akan menyelesaikan masalah jika individu yang dipilih tidak menjalankan tugas dengan baik.

"Jika 10 tahun sekali pun, sekiranya seorang itu orang yang tidak baik, dia boleh lakukan bermacam-macam benda yang merosakkan negara.

"Namun, sekiranya dia seorang Perdana Menteri yang berjaya, baik dan disukai ramai, maka 10 tahun tidak mencukupi. Itu pendapat sayalah," katanya pada Majlis Berbuka Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan DAP untuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.

Dr Mahathir berkata, beliau telah memegang jawatan tersebut selama 22 tahun dan tempoh itu merupakan satu jangka masa yang agak panjang bagi seorang pemimpin negara.

"Namun demikian, masih banyak kerja yang perlu saya lakukan yang memerlukan lebih panjang masa.

"22 tahun pun tidak dapat selesai segala rancangan yang ada pada saya.

“Yang penting bukan berapa lama seorang Perdana Menteri menjadi Perdana Menteri tetapi kemungkinan dia dijatuhkan ataupun diturunkan apabila dia melakukan sesuatu yang tidak baik,” katanya.

Justeru, beliau menegaskan peranan wakil rakyat amat penting dalam memastikan hanya individu yang berwibawa diberi mandat untuk menerajui negara.

“Sebab itu, wakil rakyat hendaklah memberi sokongan hanya kepada seorang Perdana Menteri yang melakukan sesuatu yang baik, yang diluluskan oleh rakyat dalam pilihan raya,” katanya lagi.