Label PN pembangkang paling teruk ibarat meludah ke langit - Hilman

SHAH ALAM - Tindakan Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH), Woo Kah Leong yang melabel Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang paling teruk kerana membangkitkan isu peruntukan ahli Parlimen ibarat ‘meludah ke langit’.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Muhammad Hilman Idham berkata, Kah Leong sepatutnya menilai prestasi kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum membuat tuduhan terhadap PN.

"Sebagai Ketua AMH yang baru berusia tiga hari, beliau wajar menilai prestasi Kerajaan PH hari ini terlebih dahulu. Cermin diri sendiri.

"Jika kita ingin senaraikan, ada lebih 1001 alasan untuk rakyat menegaskan kerajaan hari ini gagal. Seluruh rakyat tahu, Kerajaan PH hari ini penipu dan tak menepati janji. Cakap tak serupa bikin," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Sabtu, Kah Leong dilapor melabel PN sebagai pembangkang yang paling tidak bertanggungjawab dan teruk dalam sejarah negara bagi membalas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa PN ada sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat yang ditetapkan kerajaan kepada pembangkang.

Kah Leong berkata, PN perlu mengambil langkah proaktif seperti PH semasa menjadi pembangkang dulu.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman turut mengkritik pentadbiran PH yang didakwa gagal menguruskan negara dan rakyat termasuk isu pengurusan ekonomi dan kewangan negara, inflasi yang melambung tinggi, hak asasi manusia yang dirobek sehingga lah isu industri padi dan beras.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan sebagai ketua pemuda, pemimpin politik perlu membawa budaya politik yang lebih matang dan konstruktif.

"Tak perlu banyak bercakap, lebih baik kita bekerja demi kepentingan rakyat dan negara. Kumpul keberanian kamu, tegur Perdana Menteri, pastikan PH tepati janji," katanya.