Menangkan BN untuk henti politik fitnah - Pemuda PH

IPOH - Pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dirayu memberikan kemenangan kepada calon kerajaan Perpaduan yang diwakili Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini bagi menghentikan budaya politik fitnah yang didakwa diamalkan oleh Perikatan Nasional (PN).

Ketua Angkatan Muda Harapan (AMH), Woo Kah Leong berkata, pengundi diharap tidak terpedaya dengan permintaan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau yang merayu agar pengundi memilih calon PN pada PRK itu nanti.

Jelasnya, kemenangan PN hanya akan memperkukuh penyebaran politik kebencian yang boleh merosakkan perpaduan rakyat berdasarkan rekod parti pembangkang itu di mahkamah disebabkan perbuatan fitnah.

"Pemimpin utama PN penuh dengan rekod menyebarkan fitnah dan menabur kebencian. Ada pemimpin PN yang berkali-kali disaman fitnah dan akhirnya terpaksa meminta maaf.

"Malah, ada Ahli Parlimen yang turut gagal dalam kes fitnah terhadap pemimpin DAP dan diperintah membayar hampir RM800,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Kah Leong berkata, kekalahan PN dalam PRK DUN Ayer Kuning amat penting bagi menghalang penyebaran politik ekstrem yang boleh memudaratkan kestabilan negara.

Beliau mendakwa PN sering menggunakan naratif perkauman bagi memecahbelahkan rakyat demi kepentingan politik mereka.

“Tindakan mereka menyebarkan fitnah dan memainkan isu perkauman bercanggah dengan aspirasi negara ke arah masyarakat yang harmoni dan inklusif.

"Jika politik sempit ini dibiarkan, perpaduan negara akan terancam,” kata Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan itu.

Sehubungan itu, beliau menygajak pengundi di kerusi DUN Ayer Kuning untuk memastikan kemenangan calon kerajaan Perpaduan bagi mengekalkan kestabilan politik dan menolak budaya politik fitnah pembangkang.

Pada Jumaat, media melaporkan Dominic dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kemenangan PN di DUN Ayer Kuning penting sebagai isyarat ketidakpuasan hati rakyat terhadap kerajaan Madani.