ADUN Kepayang tarik diri pencalonan CEC DAP

SEREMBAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon, mengumumkan penarikan diri beliau dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang berlangsung pada Ahad.

Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat sebagai menyambut baik seruan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, untuk meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi.

"Ini juga sebagai menunjukkan sokongan kepada kepimpinan beliau dan hala tuju masa depan parti.

"Saya menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang mencalonkan nama saya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Nicole memaklumkan bahawa ini merupakan kali ketiga namanya dicalonkan bagi pemilihan 30 perwakilan dalam CEC, namun beliau tidak berjaya mengisi sebarang jawatan berkenaan.