Tak benar 14 ahli Parlimen UMNO tarik balik sokongan

SEREMBAN - Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, menafikan dakwaan bahawa 14 Ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan Perpaduan seperti yang tersebar di media sosial.

Pengerusi UMNO Negeri Sembilan itu turut mengesahkan bahawa kesemua lima ahli Parlimen di Negeri Sembilan masih kekal bersama kerajaan sekarang.

Menurutnya, sebarang dakwaan mengenai perkara itu adalah tidak benar dan sering dibangkitkan tanpa jemu oleh pihak tertentu.

"Tidak betul dan tidak benar, saya tidak dengar apa-apa mengenai dakwaan itu.

"Justeru, provokasi dan penyebaran kononnya 14 Ahli Parlimen UMNO berpaling tadah adalah tidak benar," katanya menerusi laporan sebuah akhbar.

Beliau menegaskan bahawa ahli UMNO terikat dengan perjanjian dan aku janji yang membabitkan bon RM100 juta bagi menghalang ahli Parlimen mengkhianati parti.

"Perlembagaan UMNO yang dipinda pada 13 Januari 2023 menghalang ahli Parlimen bertindak membelakangi apa juga keputusan, termasuk menyertai pakatan politik untuk menyokong seseorang sebagai Perdana Menteri.

"Ini termasuklah menandatangani perjanjian untuk membentuk pakatan dengan parti lawan, sekali gus bertentangan dengan pendirian parti," katanya.