GEORGE TOWN - Empat pemimpin DAP Pulau Pinang menarik diri daripada pemilihan Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti dalam usaha menyokong kepimpinan Generasi ke-3 (3G) yang dipelopori oleh Setiausaha Agung, Anthony Loke Siew Fook.
Dalam kenyataan bersama yang ditandatangani oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu, Phee Syn Tze; Datuk Soon Lip Chee; K Kalidas dan PR Kaliyappan, mereka menegaskan bahawa keputusan itu dibuat bagi memastikan barisan kepimpinan parti lebih kukuh dan bersatu dalam menghadapi cabaran politik akan datang.
Menurut kenyataan itu, kepimpinan DAP di peringkat kebangsaan telah berjaya dipimpin dengan baik oleh Siew Fook sepanjang penggal 2022-2025.
Justeru, mereka menyokong penuh usaha untuk merombak semula CEC bagi menyuntik semangat baharu dalam parti.
"Kami menyeru semua perwakilan untuk memberi sokongan penuh kepada kepimpinan 3G DAP bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti," kata mereka di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, mereka turut menegaskan kepentingan Pulau Pinang sebagai kubu kuat DAP dan satu-satunya negeri yang diterajui Ketua Menteri daripada parti tersebut.
"Untuk memastikan kemenangan kelima dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, DAP Pulau Pinang perlu bergerak sebagai satu pasukan yang teguh dan bersatu.
"Ini sukar dicapai jika wujud cubaan, khususnya daripada ahli sendiri untuk campur tangan dan memburukkan parti serta kerajaan negeri," tambah kenyataan itu.
Keempat-empat pemimpin tersebut berharap langkah mereka ini dapat memberi mesej jelas kepada seluruh ahli DAP mengenai keperluan menyokong kepimpinan 3G bagi menghadapi PRN dan Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.