KOTA KINABALU - Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman menegaskan bahawa Sabah perlu memiliki autonomi sepenuhnya dalam menentukan hala tujunya sendiri tanpa bergantung kepada mana-mana pihak termasuk dari Semenanjung.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kepentingan kerjasama antara parti demi kebaikan bersama, namun menekankan bahawa Sabah tetap harus berupaya menentukan hala tujunya sendiri.
"Ada baiknya kita mempunyai parti tempatan, tetapi jika gabungan-gabungan tertentu dapat meningkatkan peluang untuk menang dalam pilihan raya, mengapa tidak?
"Tetapi yang penting, kita mesti berada di tempat pemandu, kita yang mengemudikannya. Kita perlu menjadi pemandu, bukan sekadar 'pak turut' yang membiarkan orang lain membuat keputusan bagi negeri kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Invest Sabah Berhad di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak luar perlu menghormati keputusan rakyat Sabah dalam menyokong pemimpin mereka sendiri.
"Pihak di Semenanjung mesti menghormati hak rakyat Sabah untuk menentukan kepimpinan negeri ini. Biarlah kita sendiri yang menyokong pemimpin kita, bukan pihak dari Semenanjung.
"Kita mahu ketua menteri disokong oleh rakyat Sabah, bukan sekadar mendapat sokongan dari Semenanjung," katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai kerjasama antara GRS dan Pakatan Harapan (PH), beliau menegaskan bahawa keputusan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa dan harus mengambil kira kepentingan negeri serta rakyat Sabah.
"Nantilah kita buat keputusan. Kita perlu berbincang sebaik mungkin kerana perkara ini melibatkan kepentingan negeri dan rakyat, jadi kita tidak boleh terburu-buru.
"Kita mesti membuat keputusan yang terbaik untuk rakyat Sabah. Seorang pemimpin tidak boleh tergesa-gesa, sebaliknya harus menimbang segala aspek sebelum membuat keputusan.
"Sebab itu, kita perlu bertanya sama ada sesuatu keputusan itu boleh dibuat atau tidak. Jika masih ragu-ragu, lebih baik kita fikirkan semula," tambahnya.
Sementara itu, bercakap mengenai program tersebut, beliau yang juga Pengerusi Sabah Invest Berhad berkata, Sabah perlu mempunyai kestabilan politik supaya lebih ramai pelabur yakin untuk melabur di negeri ini.
"Tidak ada syarikat yang mahu datang melabur di sesebuah negeri atau negara jika keadaan kucar kacir, sebab pelaburan yang kita peroleh bernilai berbilion ringgit.
"Jadi kalau pelaburan itu tidak selamat, maka tidak mungkin pelabur akan datang. Itu sebab saya kata, kita mesti bersatu dan mempunyai kestabilan politik," katanya.