SHAH ALAM - Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali menarik diri daripada bertanding dalam pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu yang dijadualkan berlangsung Ahad ini.
Dalam satu kenyataan Facebook peribadinya, Guan Eng menepis khabar angin serta laporan media yang mendakwa beliau akan berundur daripada perebutan jawatan dalam kepimpinan parti.
Penafian bekas Setiausaha Agung DAP itu dikemukakan susulan banyak laporan berita daripada akhbar Cina tempatan mentafsirkan seolah-olah beliau sedia menarik diri daripada pemilihan parti kali ini demi memberi laluan kepada barisan kepimpinan baharu diketuai Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
“Saya tidak tahu dari mana datangnya begitu banyak sumber berita yang mengada-adakan cerita dan laporan palsu.
"Namun, saya sama sekali tidak akan menarik diri. Keputusan mengenai kedudukan saya dalam parti ditentukan oleh ahli-ahli DAP,” katanya.
Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut mengucapkan terima kasih kepada penyokongnya serta ahli parti yang tetap setia bersamanya.
“Saya menghargai keprihatinan rakan-rakan seperjuangan. Kita berjumpa di perhimpunan parti nanti,” tambahnya.
Pemilihan CEC kali ini dijangka sengit dengan pertembungan utama antara kumpulan yang pro-Guan Eng dan kumpulan yang menyokong Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.
Sumber dalaman parti mendedahkan bahawa walaupun Guan Eng tidak lagi memegang jawatan Setiausaha Agung sejak 2022, pengaruhnya dalam parti masih kuat terutamanya dalam kalangan pemimpin akar umbi yang melihatnya sebagai simbol kestabilan dan kesinambungan dasar parti.
Sebaliknya, kumpulan yang menyokong Anthony Loke pula berpendapat bahawa sudah tiba masanya kepimpinan parti beralih kepada generasi baru.
Anthony Loke yang kini mengetuai DAP dikatakan mahu memastikan kepimpinan parti terus berkembang dengan lebih dinamik tanpa terlalu bergantung kepada kepimpinan lama.
“Persaingan kali ini bukan hanya soal individu, tetapi lebih kepada hala tuju DAP dalam menghadapi cabaran politik masa depan,” kata seorang penganalisis politik yang enggan namanya didedahkan.
Dengan sokongan kuat dari kedua-dua kumpulan, pemilihan Ahad ini bakal menjadi medan penting bagi menentukan corak kepimpinan DAP dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Para pemerhati politik berpendapat bahawa keputusan pemilihan CEC kali ini akan memberi gambaran sama ada DAP masih kekal dengan corak kepimpinan tradisionalnya atau bergerak ke arah perubahan yang lebih progresif.
Segala perhatian kini tertumpu kepada perhimpunan parti Ahad ini yang dijangka menarik perhatian bukan sahaja ahli DAP, tetapi juga seluruh landskap politik negara.