Kestabilan kerajaan akan terjejas jika jawatan Presiden PKR dipertandingkan

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemilihan kepimpinan dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bukan sekadar acara dalaman parti, sebaliknya mampu mengubah landskap politik dan masa depan Malaysia secara keseluruhan.

Ini kerana keputusan yang bakal diumumkan pengurusan PKR, DAP dan Pas nanti bukan sahaja menentukan saf kepimpinan, dasar dan hala tuju parti masing-masing, malah berpotensi menstabilkan atau berlaku sebaliknya kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan dan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri.

Menurut Pengarah Akademik Huayan, Profesor Madya Dr Chang Yun Fah, pemilihan PKR kali ini menjadi paling kritikal jika jawatan Presiden dipertandingkan, maka ia berpotensi menjejaskan kestabilan kerajaan dan kedudukan Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH).

**media[3045856]**

“Sekiranya Anwar terus mempertahankan jawatannya, kestabilan Kerajaan Perpaduan dapat dikekalkan. Namun, jika berlaku persaingan, individu yang bakal menggantikannya akan menentukan hala tuju politik negara, termasuk kemungkinan perubahan struktur dalam gabungan kerajaan.

“Biarpun di atas kertas, kedudukan Anwar sebagai Presiden PKR dijangka selamat tanpa tentangan besar. Namun, pemilihan ini tetap signifikan kerana ia akan memberi gambaran tentang kesinambungan kepimpinannya serta calon yang bakal menggantikannya pada masa depan.

“Justeru, PKR perlu memastikan kesinambungan kepimpinan dan mencari pelapis yang mampu meneruskan legasi politik Anwar. Jika berlaku cabaran dalaman yang serius, ia boleh memberi impak langsung kepada kestabilan kerajaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Bagaimanapun, Yun Fah yakin kedudukan Anwar selaku Presiden PKR, Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP dan Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden Pas akan kekal dalam pemilihan parti masing-masing pada kali ini.

Katanya, meskipun besar kemungkinan Anwar tidak dicabar, namun pemilihan PKR kali ini tetap penting kerana menentukan kesinambungan dan bakal pengganti Ahli Parlimen Tambun tersebut.

**media[3045855]**

Cabaran

Bagaimanapun, Yun Fah berkata, keputusan pemilihan kali ini akan memberi kesan berbeza kepada hala tuju politik Malaysia dengan PKR dan Pas bakal menghadapi cabaran lebih besar berbanding DAP.

Katanya, DAP dilihat lebih stabil dengan Anthony dijangka mengekalkan jawatan Setiausaha Agung tanpa sebarang tentangan.

“Perubahan kepimpinan dalam DAP tidak akan memberi impak besar kerana parti itu tetap akan mengelak konfrontasi dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Yun Fah berkata, masyarakat Cina di Malaysia masih cenderung menyokong DAP dalam PRU16, menjadikan faktor kepimpinan bukan isu utama bagi parti itu.

Bagaimanapun, Yun Fah tidak menolak kemungkinan Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang akan mengundurkan diri dan memberi laluan kepada pemimpin lain menerajui Pas berikutan masalah kesihatan dihadapinya sekarang.

**media[3045870]**

“Jika Pas memilih pemimpin baharu yang lebih ekstrem, ia akan mengubah landskap politik Melayu dan pembangkang. Namun, jika parti itu mengambil pendekatan lebih moderat, ia mungkin membuka ruang kerjasama politik yang lebih luas.

“Jika berlaku perubahan pucuk pimpinan dan Abdul Hadi tidak lagi menjadi Presiden, maka Pas mungkin memilih untuk terus kekal dalam koalisi Perikatan Nasional (PN) dan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau ‘rujuk’ semula bersama UMNO, menjelang PRU16 nanti,” katanya.

Namun, Yun Fah berkata, pemilihan dalam Pas bakal menjadi titik perubahan utama, terutama jika parti itu memilih pendekatan yang lebih keras atau lebih terbuka kepada kerjasama politik baharu.

“Bagi PRU16, keputusan pemilihan dalam PKR dan Pas akan menjadi faktor penentu sama ada negara terus berada di landasan kestabilan atau memasuki era ketidaktentuan politik yang baharu,” katanya.

Kekal status quo

Sementara itu, Pengarah Pengajian Asia Universiti Tasmania, Profesor Dr James Chin, juga meramalkan Anwar, Anthony dan Abdul Hadi tidak akan menghadapi masalah untuk mengekalkan status quo masing-masing meskipun jawatan nombor satu parti dipertandingkan dalam pemilihan akan datang.

Bagaimanapun, James menegaskan pemilihan DAP kali ini penting dan menjadi penentu sama ada ‘Legasi Keluarga Lim’ masih kekal relevan atau ditolak oleh masyarakat Cina di Malaysia sekarang.

“Jika Lim Guan Eng (bekas Menteri Kewangan) gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ahli CEC dan tidak dipilih semula sebagai Pengerusi DAP Kebangsaan, maka ia menunjukkan pengaruh Legasi Lim kini semakin terhakis.

“Justeru itu, semua mata kini tertumpu kepada DAP, yang mungkin akan menyaksikan perubahan besar dalam kepimpinannya, sementara Anwar dan Abdul Hadi masih mengekalkan cengkaman dalam PKR dan Pas,” katanya.

Beliau berkata, selepas DAP membantu Pakatan Harapan menewaskan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), parti itu kini berada dalam situasi politik yang lebih mencabar dan memerlukan strategi baharu untuk terus kekal relevan.