BUTTERWORTH - Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow mengesahkan akan mempertahankan jawatannya sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu, pada pemilihan bulan depan.
Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan itu berkata, beliau menjadi Ahli CEC sejak 2001 dan dicalonkan lagi pada pemilihan kali ini.
"Saya mengesahkan akan bertanding untuk pemilihan CEC.
"Saya menjadi ahli CEC sejak 2001 lagi... Jadi saya masih bertanding, dicalonkan dan tidak tarik balik macam pemilihan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir pembukaan rasmi loji penyahairan Sungai Dua, di sini pada Ahad.
**media[3019779]**
Kon Yeow sebelum ini menyandang jawatan Naib Pengerusi DAP Kebangsaan dan menerajui parti itu di Pulau Pinang selama 25 tahun.
Pada 5 Ogos tahun lalu, Kon Yeow mengumumkan untuk tidak akan mempertahankan jawatan Pengerusi DAP Pulau Pinang dan menarik diri daripada pemilihan parti dalam Konvensyen Biasa DAP Pulau Pinang.
Kini DAP Pulau Pinang dipimpin oleh Menteri Sumber Manusia yang juga merangkap Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong.
Sementara itu, Kon Yeow ditanya mengenai pencalonan yang diterima, beliau memaklumkan tidak mengetahui berapa jumlah pencalonan diterima kerana semua diuruskan oleh DAP Pusat.
Katanya, disebabkan ada beberapa pemimpin kanan telah mengambil keputusan untuk menarik diri dari bertanding pada pemilihan CEC bulan depan, beliau percaya masih berpeluang untuk mempertahankan jawatan dalam jawatankuasa tertinggi parti itu.
"Sebab beberapa pemimpin kanan telah tarik diri dan saya percaya ada ruang-ruang tertentu," katanya.
Pemilihan CEC akan diadakan pada 16 Mac ini sempena Kongres Kebangsaan Parti DAP ke-18.
Ia akan menyaksikan seramai 30 calon bakal mengisi tempat berkenaan.
Semalam adalah hari akhir bagi mereka yang dicalonkan bertanding, ingin menarik diri.
Sebelum ini, empat pemimpin veteran DAP termasuk Naib Pengerusinya, M Kulasegaran mengumumkan keputusan tidak mempertahankan jawatan dalam CEC parti itu bagi memberi laluan kepada kepimpinan baharu.
Selain Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu, tiga lagi pemimpin DAP yang mengambil keputusan sama adalah penasihat parti itu, Tan Kok Wai dan Bendahari DAP, Fong Kui Lun serta ahli CEC, Datuk Seri Phee Boon Poh.