UMNO serah kepada SPR tentukan tarikh PRK Ayer Kuning

TAWAU - UMNO menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya SPR) untuk menentukan tarikh yang bersesuaian bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning susulan penyandangnya, Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada Sabtu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau telahpun menghubungi Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad agar kekosongan kerusi terbabit dimaklumkan kepada SPR dalam menentukan tarikh yang sesuai bagi mengadakan PRK tersebut.

"Pagi tadi saya telah menghubungi Menteri Besar Perak untuk berbincang mengenai perkara ini kerana saya tidak dapat bersama-sama dengan keluarga untuk menyatakan simpati kami.

"Kami tidak merasa tergesa-gesa untuk melakukannya, namun oleh kerana bulan Ramadan terlalu hampir, tentunya kita mengharapkan tarikh yang akan dipilih oleh SPR ini satu tarikh yang dapat disesuaikan dengan keadaan bulan Ramadan.

" Jadi kita serahkan kepada Pengerusi SPR secara keseluruhannya untuk menentukan tarikh-tarikh yang bersesuaian untuk mengadakan PRK," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah kali ke-34 di Kompleks Sukan Tawau di sini pada Ahad.

Sebelum itu, Ishsam, 59, disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan Hospital Pulau Pinang jam 6.28 petang Sabtu akibat serangan jantung.

Beliau sebelum itu dilaporkan rebah dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 5.20 petang ketika bersalaman dengan pemain di tepi padang sempena Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang di Stadium Bandaraya, George Town.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Ishsam yang pertama kali bertanding sebagai calon UMNO memenangi kerusi DUN N48 Ayer Kuning.

Beliau yang juga Pengerusi BN Parlimen Tapah dan Ketua UMNO Bahagian Tapah memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 2,213 undi, menewaskan empat calon lain.