'DAP hanya satu pasukan, tidak ada kem dalam parti' - Anthony Loke

SEREMBAN - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menepis dakwaan wujud sebarang kem untuk mengangkat calon tertentu dalam Pemilihan DAP bulan depan.

Menteri Pengangkutan itu berkata, dakwaan seperti itu adalah perkara biasa yang akan datang setiap kali pemilihan dengan niat untuk mengganggu-gugat ketenteraman dalam parti.

"Dalam pimpinan DAP, kita merupakan satu pasukan yang bersatu padu dan kuat, kita tak perlu endahkan macam-macam dakwaan, sebab ada antara dakwaan bukan datang dari dalam DAP tapi daripada orang luar yang tidak ada kena mengena dengan Pemilihan DAP.

"Mereka cuba mengganggu-gugat ketenteraman dalam parti, ini mungkin orang yang dengki dengan DAP atau musuh politik.

"Pada saya (dakwaan) ini perkara biasa, kita semua pemimpin yang matang dalam kepimpinan utama DAP dan tahu menilai, jadi tak perlu bergaduh untuk perkara sebegini," katanya pada Ahad.

Beliau ditemui pada Majlis Hi-Tea Menteri Pengangkutan bersama JPKK Parlimen Seremban dan DUN Chennah di Klana Resort di sini.

**media[3019934]**

Memetik laporan sebuah media, Timbalan Ketua Pengarang Eksekutif Sinchew Daily, Tay Tian Yan, berkata, terdapat tiga kem dalam DAP iaitu yang diketuai oleh Anthony, NgaKor Ming dan juga Keluarga Lim (Lim Kit Siang, Lim Hui Ying dan Lim Guan Eng).

Laporan itu menyebut, gandingan antara kem Anthony dan Kor Ming mampu menghalang Guan Eng untuk mempertahankan jawatan pengerusi.

Mengulas lanjut Anthony yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, pihaknya tidak terganggu dengan dakwaan tersebut dan tetap menjalankan tugas seperti biasa.

Dalam pada itu beliau berkata, pemilihan DAP masih berbaki sebulan dan senarai akhir calon belum dimuktamadkan memandangkan proses penamaan calon baharu saja selesai minggu lepas.

"Lepas nama dicalonkan, ibu pejabat DAP akan menghantar notis kepada calon-calon dinamakan dan mereka mempunyai masa untuk jawab sama ada menerima pencalonan itu atau tidak.

"Jika ada yang tak tolak pencalonan, mereka kena maklumkam ke ibu pejabat supaya namanya tidak diletakkan dalam senarai calon.

"Ini kerana mana-mana calon yang telah menerima atau tidak menjawab notis, nama mereka akan berada dalam senarai calon," jelas beliau.

Ditanya berkaitan dengan pencalonan pemimpin muda dalam DAP, beliau berkata, parti itu mengalu-alukan penyertaan calon muda yang merupakan sebahagian daripada proses demokrasi.

Ujarnya, DAP merupakan sebuah parti yang sentiasa melalui proses peremajaan, dan setiap kali pemilihan mahupun pilihan raya menyasarkan meletakkan muka-muka baharu untuk didedahkan dengan pengalaman kepimpinan.

"Kita ramai calon muda, kalau lihat dari segi demografi, kebanyakan ahli Parlimen terdiri wakil rakyat muda berusia 50 tahun ke bawah.

"Jika tak diberi peluang, mereka tak dapat pengalaman, jadi mereka perlu melalui proses diberi peluang berkhidmat bagi menimba pengalaman politik.

"Proses ini akan berterusan dan tidak akan berubah iaitu untuk beri peluang pemimpin muda dan wanita galas tugas sebagai pemimpin," katanya.