‘Adakah kamu wakili sebahagian besar suara orang Melayu?’ - Akmal Saleh

SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar kenyataan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan Pemuda UMNO hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu.

Menurutnya, beliau mempersoalkan kenyataan tersebut dan mengingatkan Mohamed Nazri bahawa Melayu adalah bangsa majoriti di Malaysia serta agama Islam merupakan agama persekutuan.

“Jika kami dianggap hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu, saya nak tanya juga, adakah kamu mewakili sebahagian besar suara orang Melayu?

“Mungkin kamu sudah lupa yang kamu bukan berada di AS sebab kontrak tidak disambung lagi.

“Saya nak ingatkan bahawa kamu kini berada di Malaysia yang bangsa majoritinya adalah Melayu dan Islam adalah agama persekutuan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Sebelum ini, Mohamed Nazri mendakwa Pemuda UMNO sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu susulan isu garis panduan agama Islam yang lantang disuarakan oleh Muhamad Akmal.

Beliau juga berkata untuk mengabaikan sahaja suara mereka sambil mendakwa ramai yang tidak bersetuju dengan Muhamad Akmal tetapi majoritinya memilih berdiam diri.

Dalam pada itu, Muhamad Akmal menjelaskan, tanggungjawab Pemuda UMNO adalah untuk menjaga dan mempertahankan agama serta bangsa.

“Maka tanggungjawab kami Pemuda UMNO menjaga dan mempertahankannya. Maaf Datuk Seri, kami Pemuda bukan penjilat mencari makan.

“Kami ada tanggungjawab menjaga agama bangsa daripada sibuk menjilat untuk kepentingan diri, jika kamu nak menjilat, silakan. Jangan samakan kamu dengan kami, mana tahu lepas ini boleh dapat jadi duta ke Myanmar pula,” ujarnya.