PRN Sabah: Sedia kerjasama jika untungkan UMNO

TAWAU - UMNO bersedia untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak yang akan memberi keuntungan politik kepada parti itu bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.

Perkara itu ditegaskan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berhubung isu kerjasama atau mengadakan gabungan dengan parti-parti lain dalam menghadapi PRN itu nanti.

"Dominan bererti bahawa kita tidak mahu memperoleh kerusi sebagaimana kita peroleh dalam PRN yang lalu dan kita sentiasa membuka pintu secara yang sepatutnya dan kita tidak akan menutup pintu serapat-rapatnya.

"Ertinya kita sedia bekerjasama dengan pihak yang boleh memberi keuntungan politik kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Sabah kali ke-34 di Kompleks Sukan Tawau di sini pada Ahad.

**media[3019948]**

Sementara itu, dalam perkembangan semasa berhubung ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN yang digantung keahlian untuk bertanding semula atas tiket BN, beliau menegaskan pihaknya berpegang kepada keputusan lembaga disiplin berhubung tindakan yang dikenakan sebelum ini.

"Kita tahu lembaga disiplin telah mengumumkan beberapa ketika yang dahulu mengenai tindakan itu dan kita berpegang kepada keputusan lembaga disiplin itu dan majlis tertinggi meletakkan peraturan UMNO di atas kepada mana-mana ahli yang terkait.

"Namun itu terlalu awal untuk kami fikirkan (beri peluang bertanding) dan saya akan berunding dengan Ketua UMNO Sabah dan timbalannya untuk menentukan sama ada seseorang itu boleh kita berikan peluang lagi atau sebaliknya," katanya.

Mengulas mengenai pertemuannya dengan Ketua UMNO Bahagian di Sabah, beliau yang juga Pengerusi BN telah mengarahkan persediaan dalam menyusun jentera bagi menghadapi PRN.

"Saya telah bertemu dengan semua Ketua UMNO Bahagian seluruh Sabah, begitu juga timbalan, naib, ketua wanita, pemuda dan puteri dan apa yang saya sampaikan ialah kesiapsiagaan kita untuk menyusun jentera bila pilihan raya diadakan.

"Kita telah menyediakan jentera yang secukupnya untuk menarik pengundi bagi memberikan dokongan kepada calon-calon yang akan kita kemukakan kelak," katanya.