PRN Sabah: Wanita GRS hantar 10 nama calon

KOTA KINABALU - Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menyerahkan 10 senarai nama calon wanita untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan berlangsung pada tahun ini.

Ketua Wanita GRS, Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, senarai itu sudahpun diserahkan kepada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor untuk dipertimbangkan sebagai calon pada PRN kali ini.

"Seramai 10 orang daripada pelbagai parti komponen dalam GRS, namun ada juga parti yang tidak ada mengemukakan nama jadi kita tidak boleh paksa mereka.

"Jadi yang mana mengemukakan nama, kita dengar dan mengadakan perbincangan. Boleh saya katakan, daripada 10 nama itu antaranya termasuk kerusi yang kita pertahankan.

"Lain-lain itu kita tunggu nanti tetapi memang kita sudah namakan iaitu dari pelbagai parti dalam gabungan itu sendiri," katanya kepada pemberita pada Majlis Apresiasi Media di sini pada malam Sabtu.

Ditanya lanjut, adakah senarai nama tersebut melibatkan muka baharu, beliau tidak menafikan namun pada akhirnya ia terpulang kepada pucuk pimpinan GRS.

"Setelah kita berbincang sesama kita dalam wanita, maka kita hantarlah kepada pucuk pimpinan dan akhirnya terpulang kepada pucuk pimpinan untuk menilai dari sekarang untuk membuat keputusan siapa yang akan menjadi calon termasuk jika calon tidak sesuai dan ditukar kepada yang lain.

"Ini dengan persetujuan semua parti begitu juga peratus muka baharu dan lama di mana kita mengekalkan calon di kerusi sedia ada dan selebihnya adalah muka baharu," katanya.

Untuk rekod, empat kerusi milik wanita GRS ketika ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Norazlinah Arif daripada Parti Gabungan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), ADUN Tulid, Datuk Flovia Ng dari Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), ADUN Matunggong, Datuk Julita Mojungki dari Parti Bersatu Sabah (PBS) dan ADUN Kukusan, Datuk Rina Jainal dari Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).