SHAH ALAM - Pas masih memerlukan Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai Presiden untuk memimpin dan menerajui parti Islam itu.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, ia berdasarkan ilmu, pengalaman dan keperibadian beliau yang sukar dicari ganti.
Namun menurutnya, terserah kepada Abdul Hadi sama ada mahu meneruskan perjuangan sebagai Presiden sehingga ke Putrajaya atau menurut jejak langkah Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memberi laluan kepada pemimpin pelapis.
“Sekiranya beliau mengundurkan diri, pada pandangan saya orang yang paling sesuai mengambil alih tempat Presiden adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man,” ujarnya kepada Sinar Harian.
Pada Khamis, Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, Pas tidak menghalang mana-mana pemimpin parti itu merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti September ini.
Beliau berkata, tiada sekatan dikenakan terhadap mana-mana pemimpin bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan dan ia terbuka kepada semua ahli yang layak.
Tambah Mohd Amar, pandangan Muhammad Sanusi itu selaras dengan perlembagaan parti.
“Perlembagaan parti tidak menghalang sesiapa untuk bertanding mana-mana jawatan,” katanya.