PKR Pulau Pinang juga sokong Nurul Izzah bertanding Timbalan Presiden

GEORGE TOWN - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang menyatakan sokongan penuh sekiranya Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pulau Pinang, Nurul Izzah Anwar berhasrat bertanding jawatan Timbalan Presiden parti itu pada pemilihan akan datang.

Sokongan itu adalah lanjutan daripada pendirian terdahulu yang menyokong Nurul Izzah mempertahankan jawatan Naib Presiden, namun dengan mengambil kira perkembangan politik semasa, kepimpinan negeri berpandangan Nurul Izzah wajar diberi ruang memikul tanggungjawab lebih besar dalam parti.

Timbalan Pengerusi MPN Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, pencalonan Nurul Izzah bukan semata-mata untuk meraikan bakat kepimpinan, sebaliknya sebagai langkah memperkukuh usaha regenerasi parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Nurul Izzah memiliki latar belakang, pengalaman serta integriti yang diyakini mampu menggalas peranan sebagai Timbalan Presiden. Sepanjang 15 tahun menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai dan Permatang Pauh, beliau menunjukkan keteguhan prinsip dan komitmen terhadap perjuangan parti.

“Beliau dikenali sebagai tokoh politik berprinsip, menolak budaya politik kotor dan korup, selain membawa imej reformis yang bersih,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, sejak awal pembabitannya dalam politik, Nurul Izzah telah menampilkan keupayaan sebagai pemimpin muda yang konsisten dalam memperjuangkan reformasi dan keadilan sosial.

"Nurul Izzah turut menekankan isu hak asasi manusia, termasuk memperjuangkan hak wanita, kebebasan bersuara, pendidikan berkualiti serta ekonomi rakyat yang berdaya tahan.

“Dalam suasana politik negara yang semakin mencabar, PKR memerlukan barisan kepimpinan yang memahami denyut nadi akar umbi serta mampu memperkukuh struktur parti dari peringkat bawahan hingga ke pucuk pimpinan.

“Tiada sebab untuk menolak kewibawaan beliau. Nurul Izzah telah melalui pelbagai ujian politik dan membuktikan kematangan serta daya tahan sebagai pemimpin,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad menegaskan bahawa PKR Pulau Pinang bersama Angkatan Muda Keadilan dan Wanita Keadilan negeri sebulat suara menyokong penuh pencalonan Nurul Izzah bagi jawatan Timbalan Presiden PKR.