Pemuda Pas Selangor bantah projek pembangunan di Shah Alam

SHAH ALAM – Pemuda Pas Selangor membantah projek pembangunan bercampur yang sedang dirancang oleh anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) [MBI], Landasan Lumayan Sdn. Bhd. (LLSB) bersama Lion Posim Berhad (LPB) di Seksyen 24, di sini.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, bantahan tersebut dibuat kerana tapak projek berkenaan merupakan dataran tanah rendah yang terletak bersebelahan Sungai Klang dan berfungsi sebagai dataran banjir – iaitu kawasan takungan sementara ketika hujan lebat bagi melambatkan serta mengawal aliran air ke sungai.

“Kini, kawasan ini mahu ditimbus dan dibangunkan menjadi hartanah, menyebabkan kehilangan kekal fungsi kawalan banjir tersebut. Tindakan ini tidak bertanggungjawab dan membahayakan serta menjadi punca utama banjir berulang di Shah Alam.

“Selain itu, ia juga memberi beban berganda kepada penduduk, dengan hampir 10,000 penduduk baharu bakal ditempatkan tetapi tiada pelan konkrit bagi sekolah, masjid atau fasiliti awam. Sekolah dan jalan sedia ada pula akan sesak luar kawalan.

“Projek ini dijangka siap dalam tempoh 10 tahun. Sepanjang tempoh tersebut, penduduk akan dihantui debu, bunyi bising, pergerakan lori keluar masuk, risiko keselamatan serta tekanan psikologi. Pembangunan ini ibarat hukuman jangka panjang kepada warga Seksyen 24,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini dilaporkan, LPB akan menjalankan projek pembangunan bercampur secara usaha sama di atas tanah seluas 10.64 hektar di Seksyen 24, Shah Alam yang akan diserahkan oleh kerajaan Selangor kepada LLSB.

Projek itu dijangka melibatkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM867 juta.

Mengulas lanjut, Mohamed Sukri yang juga Yang Dipertua (YDP) Pas Shah Alam mendakwa projek tersebut merupakan manifestasi kerakusan pembangunan yang tidak berjiwa rakyat kerana memberi kesan buruk berpanjangan kepada penduduk sedia ada.

“Projek ini diluluskan ketika Datuk Seri Amirudin Shari menjadi Menteri Besar Selangor dan beliau juga mempengerusikan MBI. Kegagalan meletakkan kesejahteraan rakyat melebihi keuntungan hartanah adalah kegagalan dasar dan prinsip.

“Kerajaan negeri nampaknya tidak mengambil iktibar daripada projek gagal seperti River of Life. Estetika diutamakan tetapi ekologi dan komuniti diketepikan. Sungai Klang sekali lagi dijadikan mangsa kerakusan kapitalisme hartanah.

“Pas Shah Alam dan Pemuda Pas Selangor mengambil serius isu ini dan akan bertindak dari semasa ke semasa. Ia tidak terhenti dengan kenyataan ini, sebaliknya menjadi permulaan kepada tindakan seterusnya sekiranya tidak diberi perhatian oleh kerajaan Selangor,” ujarnya.