Persaingan sengit siapa orang nombor 2 Anwar

SHAH ALAM - Menjelang pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 peringkat pusat yang dijadualkan berlangsung pada 8 dan 9 Mei ini, semakin banyak pandangan dan kenyataan yang dikeluarkan ahli mahupun pemerhati politik terutama isu melibatkan jawatan nombor dua parti.

Siapa yang layak mendampingi Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengemudi kapal besar parti politik berpengaruh itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) terus menjadi tanda tanya, malah penangguhan pemilihan yang sepatutnya berlangsung pada Isnin lalu seperti sudah dijangkakan.

**media[3114464]**

Beberapa ahli telah mula memberi telahan mereka tentang siapa yang layak menjawat jawatan penting itu, bagi memastikan bahtera PKR tidak bermasalah di tengah ‘lautan’.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman secara terbuka mencadangkan supaya Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail diberi laluan mudah untuk mengisi kerusi timbalan presiden parti itu.

Penilaian tersebut susulan spekulasi mengenai peletakan jawatan penyandang, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilapor menyuarakan hasrat untuk berundur daripada jawatan penting itu dalam satu mesyuarat bersama penyokongnya pada 23 April lalu.

Syed Badli Shah berkata, langkah itu mampu menjaga kestabilan parti, sekali gus memberi ruang kepada Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri memainkan peranan penting sebagai orang nombor dua dalam membantu Anwar.

Namun Timbalan Pengarah Komunikasi PKR Sabah, Fekirie Gobet menegaskan, gesaan tersebut sebagai cubaan memecahbelahkan kesatuan dalam parti yang terkenal dengan laungan ‘Reformasi’.

Ramai sokong Nurul Izzah

Bagaimanapun di sebalik cadangan dan gesaan melibatkan dua tokoh politik itu, tidak semena-mena nama Nurul Izzah Anwar ‘dipetik’ untuk mengisi jawatan timbalan presiden.

Ketua Cabang PKR Tapah, Azam Afandi yang menyuarakan pandangannya turut mengharapkan sokongan seluruh anggota demi membuka lembaran baharu dalam usaha memacu PKR sebagai parti masa depan untuk Malaysia yang lebih adil, progresif dan inklusif.

Ketua Penerangan PKR Perak itu melobi dengan menyenaraikan budi dan bakti Nurul Izzah yang juga bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, antaranya sebagai aktivis hak asasi manusia dan pejuang pembaharuan institusi negara.

**media[3114469]**

Puteri Reformasi itu dikatakan mampu membawa nilai kesederhanaan, ketegasan prinsip dan daya fikir progresif dalam menyuntik semangat baharu dalam parti, memperkukuhkan sinergi antara PKR dan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara serta kesejahteraan rakyat.

Pandangan sama turut dikongsi Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad yang menyokong cadangan meletakkan Nurul Izzah sebagai calon.

Beliau berkata, kehadiran Nurul Izzah bakal melonjakkan demokrasi dalaman parti dengan menawarkan pilihan yang segar kepada ahli akar umbi.

“Dengan penyertaan tokoh seperti Rafizi yang kini menyandang jawatan timbalan presiden dan Datuk Seri Saifuddin Nasution, pertandingan kali ini dijangka menjadi lebih kompetitif,” katanya.

**media[3114467]**

Dalam pada itu, lima Ketua Cabang PKR Melaka turut menyatakan sokongan terbuka kepada Nurul Izzah sebagai calon timbalan presiden parti itu.

Mereka terdiri daripada Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; Ketua Cabang Alor Gajah, Mohd Khuzaire Mohd Kamal Kannan; Ketua Cabang Tangga Batu, Azlan Osman; Ketua Cabang Jasin, Jagatheason Ramiah dan Ketua Cabang Kota Melaka, Md Yusoff Ahmad.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa itu, mereka berpendapat Nurul Izzah telah menunjukkan keteguhan prinsip, keberanian bersuara serta komitmen tanpa lelah dalam memperjuangkan agenda keadilan sosial, hak asasi manusia dan reformasi institusi.

Nurul Izzah juga dilihat mampu menyuntik nafas baharu dalam PKR, memperkukuh sinergi bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan dan terus membawa obor perjuangan.

“Nurul Izzah bukanlah nama asing dalam gerakan reformasi dan perjuangan PKR. Pengalaman beliau sebagai bekas naib presiden parti, ahli Parlimen selama dua penggal dan aktivis masyarakat sehingga baru-baru ini disenaraikan antara 30 individu berpengaruh dalam Project Syndicate Forward Thinkers List tentunya memberikan kekuatan dan kredibiliti beliau untuk memainkan peranan lebih besar dalam kepimpinan parti.

“Pencalonan beliau bukan soal personaliti semata-mata atau pertimbangan warisan tetapi soal masa depan PKR sebagai sebuah parti politik progresif yang kekal diyakini rakyat,” kata kenyataan itu.

Rafizi ada peluang

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Ariff Aizuddin Azlan pula berpandangan, persaingan jawatan timbalan presiden dilihat amat kritikal dan dikhuatiri membelakangkan semangat permuafakatan yang telah terbentuk selama ini.

**media[3114468]**

“Dalam konteks pemilihan semasa, saya melihat kecenderungan terhadap figura tertentu pasti akan membentuk persepsi yang sangat bahaya dan sekiranya tidak dibendung, ia akan melorongkan jalan kepada politik bersifat pecah belah, lebih-lebih lagi jawatan tersebut yang paling hampir dengan presiden.

“Namun setiap calon memiliki kekuatan dan kelemahan tersendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

Namun beliau berpendapat, Rafizi memiliki peluang lebih cerah untuk kembali menduduki ‘kerusi panas’ itu kerana pembawakan politik berinteraksi lebih dekat di hati akar umbi selain pengalaman politik dan pentadbirannya semasa di dalam kerajaan atau sebahagian kerajaan.

Berdasarkan faktor tersebut, Arif Aizuddin melihat sukar untuk Saifuddin Nasution memenangi dan menyaingi Rafizi dalam perebutan jawatan berkenaan.

“Umum mengetahui posisi atau jawatan ini sering kali diukur dengan intonasi seperti kerusi panas atau posisi kritikal.

“Oleh yang demikian saya menjangkakan persaingan merebut jawatan itu akan menarik perhatian orang ramai (melibatkan) sejauh mana calon-calon akan menyantuni penyokong akar umbi agar dipilih untuk menggalas tanggungjawab itu,” ujarnya.

Berbaki beberapa hari lagi sebelum penamaan calon bagi pemilihan PKR, cukup memberi ruang kepada Saifuddin Nasution untuk mempertimbangkan cadangan agar beliau kembali berentap dengan seteru lama.

Kini semua menanti dengan penuh debar bagi merungkai persoalan terutama siapakah bakal calon ‘panglima perang’ PKR itu dalam mendepani PRU16 yang akan terjawab pada hujung minggu ini.