22 Ketua Cabang PKR Johor sokong Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden

JOHOR BAHRU – Seramai 22 Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menyatakan sokongan terbuka terhadap pencalonan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden.

Menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Ketua Cabang Mersing, Khairil Adanan, Nurul Izzah diangkat sebagai simbol semangat Reformasi baharu yang diyakini mampu menyatukan parti dan mengangkat suara rakyat ke peringkat tertinggi kepimpinan.

“Nurul Izzah bukan sekadar ‘anak kepada’ tokoh Reformasi, tetapi beliau telah membina kredibiliti sendiri sebagai pemimpin progresif yang berani dan berprinsip.

“Kepimpinan beliau selama tiga penggal sebagai Ahli Parlimen membuktikan komitmen terhadap perjuangan rakyat,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Nurul Izzah dianggap sebagai pewaris legasi Reformasi 1998 yang telah melalui pelbagai ujian getir, termasuk pengalaman keluarganya dalam tahanan politik.

“Kami percaya beliau adalah pemimpin yang mampu membawa penyatuan dalam parti melalui pendekatan diplomasi dan idealisme segar, menyambung kesinambungan perjuangan PKR dari akar umbi ke puncak,” katanya.

Antara Ketua Cabang yang menyatakan sokongan tersebut termasuk Ketua Cabang Bakri, Ysahruddin Kusni; Ketua Cabang Pontian, Haniff Ghazali; Ketua Cabang Pulai, Faezudin Puad; Ketua Cabang Iskandar Puteri, Shamala Devi; serta Ketua Cabang Johor Bahru dan Tebrau.

Mereka turut menyeru seluruh anggota PKR, terutamanya di Johor, untuk bersatu dalam memperjuangkan hala tuju baharu parti melalui kepimpinan yang berintegriti dan inklusif.

“Kami dari selatan tanah air bersedia untuk menggerakkan jentera dan memastikan suara rakyat terus menjadi tunjang perjuangan parti,” tambah kenyataan itu.