Yakin amalan demokrasi dalam PKR masih subur

AMPANG - Biarpun Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengesahkan beliau gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa, namun Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, tetap yakin amalan demokrasi masih subur dalam parti itu.

Berikutan itu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar berkata, beliau juga yakin mampu mempertahankan jawatan naib presiden dalam pemilihan jawatan tertinggi PKR tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, biarpun kalah dalam pemilihan ketua cabang namun secara demokrasi, peluangnya untuk mempertahankan jawatan naib presiden adalah sama rata dengan calon lain.

“Insya-ALLAH ini proses demokrasi. Jadi peluang semua calon termasuk mereka yang bertanding jawatan Naib Presiden PKR untuk menang adalah 50:50,” katanya.

Nik Nazmi berkata demikian ketika mengulas sejauh mana peluang beliau boleh menang jawatan naib presiden dalam pemilihan PKR selepas tewas kepada pengarah dan pelakon terkenal, Datuk Afdlin Shauki dalam perebutan jawatan Ketua Cabang Setiawangsa, baru-baru ini.

Keputusan rasmi dipaparkan di laman rasmi PKR menunjukkan Afdlin memperoleh 631 undi, menewaskan Nik Nazmi yang meraih 563 undi.

Afdlin yang menyertai PKR pada 2021 bertanding jawatan sama pada 2022 tetapi tewas kepada Nik Nazmi.

Dalam pada itu, Nik Nazmi enggan mengulas lanjut berhubung keputusan JPP yang mengekalkan keputusannya kalah kerana mendakwa sudah membuat bantahan menerusi saluran yang betul.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail yang tewas dalam pemilihan Ketua Cabang Shah Alam pula mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga hari pencalonan sama ada mahu mencabar jawatan Ketua Wanita PKR kali ini.

**media[3114440]**

“Saya tidak mahu ulas lanjut, tunggulah sehingga hari pencalonan pada 8 dan 9 Mei ini (sama ada akan bertanding atau tidak),” katanya.